Umno digesa tangguh pemilihan, selesai kes rasuah politik

PETALING JAYA: Dua ahli Umno hari ini menggesa supaya perhimpunan agung parti itu ditunda supaya kes-kes rasuah politik dalam Umno dapat diselesaikan.

Ketua Cawangan Umno Muar, Datuk Kadar Ninam Shah dan ahli Umno Subang, Datuk Mazlan Harun bersedia mendapatkan injuksi mahkamah sekiranya semua kes politik wang gagal diselesaikan sebelum perhimpunan agung yang akan berlangsung hujung Mac ini.

"Kita menggesa supaya Perhimpunan Agung Umno ditangguh supaya tindakan dapat diambil untuk menyelesaikan laporan yang dikemukakan berhubung politik wang sama ada kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau pun kepada Lembaga Disiplin," kata Mazlan dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Mazlan yang juga bekas Exco Pemuda Umno berkata, mereka sedia berhadapan dengan tindakan tata tertib daripada parti berikutan tindakan mereka mahu membawa kes itu ke mahkamah.

"Kalau kita mahu kemukakan ke mahkamah, ia mesti ada asas undang-undang dan kita percaya, kita ada kes prima facie.

"Bagaimanapun, kita belum sampai ke tahap itu lagi. Kita menunggu reaksi daripada pimpinan tertinggi Umno. Jadi kita gesa Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil berat perkara ini.

"Bagaimanapun, kita bersedia (menghadapi tindakan). Saya tidak kisah (jika digugurkan keahlian) kerana banyak lagi parti pembangkang yang menunggu taoi saya sayangkan Umno," katanya.

Katanya, gesaan untuk menangguhkan perhimpunan agung itu logik kerana beliau yakin SPRM atau Lembaga Disiplin tidak akan dapat menyelesaikan kira-kira 1000 aduan yang diterima.

"Saya tidak nampak ia boleh diselesaikan (sebelum 24 Mac) dan kerana itulah kita mahu ia ditangguhkan. Kita mahu Umno dibersihkan dahulu," katanya.

Katanya, tindakannya menggesa perhimpunan agung ditangguh bukan bertujuan untuk menghalang peralihan kuasa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sementara itu, Kadar Shah berkata, mereka turut merasa kecewa kerana SPRM yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak mengambil tindakan berhubung laporan mengenai penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi Umno.

Katanya, beliau dan Mazlan telah membuat laporan mengenai Perdana Menteri dan timbalannya berhubung politik wang dan penyalahgunaan kuasa pada 4 September lalu namun sehingga kini tiada sebarang tindak balas positif berhubung perkara itu.

"Oleh kerana Perdana Menteri telah berjaya menubuhkan SPRM yang diuar-uarkan berkredibiliti dan boleh dipercayai, maka saya ingin laporan itu disiasat segera," katanya.

No comments

Powered by Blogger.