Wanita MCA Ucap Tahniah Kepada Presiden Majlis Peguam

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Wanita MCA hari ini menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Majlis Peguam Datuk Datuk Ambiga Sreenevasan yang terpilih sebagai salah seorang daripada lapan penerima anugerah "International Women of Courage Award".

Pengerusinya Datin Paduka Chew Mei Fun berkata ia merupakan pencapaian yang jarang sekali dirangkul oleh rakyat Malaysia, sekaligus menunjukkan bahawa wanita Malaysia diiktiraf di arena antarabangsa kerana sikap berani dan tegas dalam menyuarakan isu-isu nasional seperti kebebasan kehakiman, kesaksamaan gender, kebebasan media serta agama, dan lain-lain lagi.

Beliau berkata usaha Ambiga itu tidak seharusnya dilihat dari segi perspektif gender, tapi sebagai individu Malaysia yang memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan.

"Dalam menganjurkan seminar dan bengkel menerusi Majlis Peguam berhubung pelbagai isu yang dianggap sensitif, Datuk Ambiga berjaya mempamerkan kepakarannya dalam usaha menangani isu-isu ini tanpa rasa takut atau berat sebelah. Dia melaksanakan tugas serta tanggungjawab sebagai seorang profesional, isteri, dan ibu, secara seimbang dengan baik sekali," katanya.

Ambiga dinamakan sebagai salah seorang daripada lapan penerima anugerah itu oleh Jabatan Negara Amerika semalam.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.