2 Adun BN akui buat silap besar fitnah Husam Musa

Image

Sejak menerajui Kelantan hampir 20 tahun lalu, pemimpin kerajaan PAS ternyata bebas daripada segala unsur rasuah dan penyelewengan kuasa.
Iklan




Malah segala dakwaan yang dilemparkan pihak lawan tidak lebih sekadar gimik politik yang gagal dibuktikan di mahkamah.

Inilah juga yang berlaku terhadap anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa apabila difitnah dengan dakwaan melakukan penyelewangan, namun tiada sebarang bukti.

Ekoran itu, hari ini seorang lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) iaitu Adun Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka kepada Husam.

Semalam, Adun Paloh, Dato' Nozula Mat Diah lebih awal menarik balik segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap anggota Exco terbabit dua tahun lalu.

Image

Pada 27 November 2007 Adun terbabit membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah dengan menyerahkan dokumen yang diperolehi dari sumber yang tidak pasti kononnya penyelewengan dilakukan Husam.Image

Dakwaan mereka sebelum ini membabitkan sembilan isu termasuk salah guna kuasa, penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd, isu kedai Majlis Daerah Machang dan kambing jamnapari.

Ekoran dakwaan tersebut Husam yang juga Naib Presiden PAS menyaman sejumlah RM6 juta terhadap kedua-dua Adun BN terbabit kerana memfitnahnya.

Mohd Adhan berkata, beliau mengikut jejak rakannya Nozula menyelesaikan kes di luar mahkamah.

"Saya amat berterima kasih kepada Dato' Husam kerana sudi menerima permohonan maaf kami secara bersemuka dan ini amatlah dihargai," katanya pada persidangan media di bilik rehat Adun di Tingkat 1, bangunan Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini.

Ditanya tindakan itu dibuat sama ada kaitan dengan suasana kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai, Mohd Adhan yang juga seorang peguam berkata, ia tiada kena mengena kerana ia merupakan isu peribadi bukan politik.

Image"Kami membuat kenyataan terbuka memohon maaf kerana sedar ini merupakan satu kesilapan besar yang telah kami lakukan kerana bertindak terburu-buru setelah menerima maklumat dari sumber tertentu.

"Dahulu di bilik ini kami berkumpul untuk membuat kenyataan akhbar dan hari ni pun kami beada di sini juga untuk membuat pembetulan," katanya.

Sementara itu Husam berkata, beliau bersikap terbuka dan sedia menerima sebarang teguran dari semua pihak termasuk media.

Namun kata beliau sekiranya ia fitnah kesannya amat besar dalam hidupnya serta boleh menjatuhkan reputasinya dan beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan.

"Saya berharap selepas ini, kalau nak buat sesuatu laporan, biarlah mempunyai bukti dan jangan jadikan ia sebagai fitnah. Fitnah amatlah besar kesannya kepada si mangsa," katanya.

No comments

Powered by Blogger.