Ahli Parlimen Klang cadang saman polis

Source : Sinar Harian 24/6/09

KLANG – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bercadang memfailkan saman terhadap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) atas dakwaan salah salah guna kuasa berhubung tindakan penarikan permit majlis makan malam dan ceramah DAP di Klang pada saat-saat akhir.

Katanya, ketika ini beliau masih berbincang dan mendapatkan pandangan peguamnya sebelum tindakan susulan diambil sama ada mahu menyaman Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Klang atau Kerajaan Malaysia.

“Penolakan kelulusan permit ini dilaksanakan Ketua Polis Daerah Klang, tetapi atas arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan segala keputusan akhir hanya akan diketahui Khamis ini iaitu selepas kami mengadakan perbincangan dengan peguam.

“Peguam kami sedang mengkaji sebelum memutuskan pihak yang akan disaman berhubung insiden yang buat kali pertamanya berlaku dalam sejarah negara ini,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Klang, di sini, semalam.

Polis pada Ahad bertindak menarik balik permit majlis makan malam dan ceramah DAP Klang yang dianjurkan di kawasan Bayu Tinggi, Klang sempena sambutan Hari Bapa dan ulang tahun ke-43 DAP.

“Saya ingin menyatakan bahawa, program yang berlaku pada Ahad lalu langsung tidak menjejaskan ketenteraman awam, tetapi mengapa lebih kurang 800 anggota polis dihantar untuk mengawasi tapak majlis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan mengemukakan satu usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk dibincangkan hari ini.

Katanya, notis ‘Salah guna Kuasa Yang Keterlaluan Oleh Polis di Jamuan Makan Malam DAP Klang Sambutan Ulang Tahun ke 43’ itu diberikan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) untuk mengusulkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendakkan disegerakan pada hari ini.

“Saya mencadangkan Perdana Menteri membawa reformasi terhadap PDRM antaranya meminda Akta Polis 1967 bagi memastikan polis bebas menangani perkara politik, melindungi dan mempertahankan hak asasi manusia, menghapuskan Seksyen 27 Akta Polis, menubuhkan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis dan menghukum sesiapa yang menyalahguna kuasa polis,” katanya.

Source : Sinchew Daily 24/6/09

No comments

Powered by Blogger.