Anak tempatan bakal berentap di Manek Urai


Umno dan PAS bakal meletakkan anak tempatan bagi mewakili parti masing-masing dalam pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai nanti.

Kedua-dua parti itu pada dasarnya telah menyenarai pendekkan calon masing-masing untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Umno Kelantan sudahpun menyerahkan senarai nama calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil (PRK) N41 DUN Manek Urai kepada pucuk pimpinan untuk proses penelitian dan keputusan akan diumumkan pada bila-bila masa.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata sekurang-kurangnya tiga nama disenarai pendekkan untuk pemilihan calon pada PRK tersebut.

“Pada bila-bila masa kita akan umumkan selepas keputusan berhubung nama calon dibuat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Perlumbaan Eko-Budaya Kelantan 2009 di Pantai Irama Bachok, dekat sini.

Pada satu perkembangan lain Timbalan Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Ramzi Abdul Rahman, mengesahkan penyerahan senarai berkenaan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad.

Beliau mengesahkan perkara tersebut kepada media sebelum menghadiri mesyuarat exco Pergerakan Wanita Pusat di pejabat Umno Bahagian Kuala Krai.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kuala Krai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak akan memutuskan nama calon akan bertanding sebelum hari penamaan calon 6 Julai depan.

Menjawab persoalan kriteria calon bakal dipilih beliau berkata terdiri dari anak tempatan mempunyai ciri-ciri mesra rakyat yang boleh diterima semua penduduk.

Pada masa sama beliau yakin BN mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK tersebut berdasarkan semangat ditunjukkan oleh jentera dan penyokong yang tidak berbelah bagi.

“Kita sentiasa bersedia dalam menghadapi pilihan raya kecil ini. Segala kerja berjalan lancar dan kita yakin mempunyai peluang menang berdasarkan semangat ditunjukkan BN,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK N41 Dun Manek Urai pada 6 Julai. Sekiranya ada pertandingan maka PRK tersebut akan diadakan pada 14 Julai.

Sementara itu PAS dilaporkan akan mengumumkan nama calonnya pada Jumaat ini selepas Jawatankuasa Pusat PAS memutuskan calonnya pada mesyuarat khas yang diadakan di ibu negara.

The Malaysian Insider difahamkan calon PAS juga terdiri daripada anak tempatan yang juga merupakan pemimpin PAS kawasan berkenaan. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan mengumumkan nama calon tersebut.

http://www.themalaysianinsider.com/

No comments

Powered by Blogger.