Awas Tafsiran Baru Perlembagaan
Mana-mana Perdana Menteri yang baru suka benar memulakan pemerintahan masing-masing dengan slogan atau ungkapan yang dicipta untuk mencerminkan hala tuju pentadbiran mereka. Tetapi lazimnya slogan itu tidak ada sedikit pun mampu melaksanakan hala tuju atau matlamat mereka. Slogan “Bersih Cekap dan Amanah” ciptaan Dr Mahathir Mohamad pada awal tahun 1980-an dahulu begitu memberangsangkan tetapi dari era itulah bermulanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi barah pentadbiran negara sehingga ke hari ini. Begitulah juga matlamat melahirkan kerajaan berintegriti dan ketelusan yang diketengahkan sewaktu kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang gagal dari segi pelaksaanaan kerana para pemimipin UMNO tidak bersedia untuk walk the talk. Mereka cuma cakap tak serupa bikin.
Hari ini rakyat dibebankan pula dengan slogan 1Malaysia. Perdana Menteri Najib mencipta slogan baru kerana tidak mahu teruskan slogan Pak Lah. Entah ke mana perginya integriti dan ketelusan. Di mana hilangnya “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”? Menentang rasuah juga tidak lagi kedengaran. Perdana Menteri sekarang berhempas pulas cuba perjelaskan konsep idamannya itu tetapi makin lama makin keliru rakyat Malaysia. Rakyat jelata terus kebingungan. Najib kata 1Malaysia bukan proses asimilasi dengan memberi jaminan identiti kaum dan etnik tidak dilenyapkan. Dia kata teras perpaduan akan dikekal dan diperkuatkan. Dengan lain perkataan Malaysia akan terus melaksanakan prinsip-prinsip kenegaraan kepada semua kaum berasaskan Perlembagaan Persekutuan. Malah katanya Rukunegara akan kekal sebagai teras kenegaraan.
Kalaulah semua ini yang dimaksudkan dengan 1Malaysia, mengapa perlu slogan yang baru? Mengapa perlu ungkapan baru mengenai perkara-perkara yang jelas termaktub dalam Perlembagaan sejak 52 tahun dahulu? Kecualilah kalau Perdana Menteri ada tafsiran baru bagi peruntukan -peruntukan dalam Perlembagaan Negara. Kita selalu mendengar semua pihak yang bertelingkah juga tidak segan silu mengakui bahawa tindakan dan tafsiran mereka lah yang tepat mengikut Perlembagaan. Selagi kefahaman rakyat tentang Perlembagaan Persekutuan tidak bagitu meluas dan mendalam, selagi itu lah pemimpin politik akan terus bersandiwara mengaku dasar dan polisi mereka itu secucok dengan Perlembagaan ; walaupun pada hakikat nya tidak sama sekali.
Tetapi di Malaysia yang serba boleh ini, kita sudah lihat hakim-hakim yang mendengar kes yang timbul dari krisis politik Perak telah kerap sekali membawa tafsiran dan terjemahan baru kepada konsep dan prinsip Undang-Undang Perlembagaan atau Constitutional Law sama ada dalam bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya dalam menentukan sama ada sesebuah kerusi Dewan Undangan Negeri itu kosong atau tidak; atau pun dalam soal kuasa Speaker Dewan Undangan Negeri semasa menjalankan tugas sebagai Speaker; atau pun kuasa Raja Berperlembagaan dalam soal melantik Menteri Besar. Mungkin sekarang telah masuk era baru di Malaysia di mana Perlembagaan Persekutuan akan ditafsir dan diterjemah bukan lagi mengikut saluran yang sah dan berpandukan prinsip keadilan tetapi hanya yang secucuk dengan kehendak slogan 1Malaysia.
Bila bertemu dengan kumpulan kecil Pewaris yang suka menggelar diri mereka pembela bangsa, Perdana Menteri terpaksa tunduk dan memberi jaminan kepada mereka bahawa konsep 1Malaysia itu adalah berteraskan Perlembagaan dan tidak ada apa-apa yang akan “di longgarkan”. Itulah drama politik UMNO; setiap kali pemimpinnya mengutarakan sesuatu yang nampak inklusif untuk semua rakyat Malaysia, maka masa itu juga ada kumpulan UMNO yang menuntut supaya jangan tunduk kepada sesiapa pun. Tidak ada langsung satu pendekatan yang objektif dan rasional yang mahu mencari penyelesian tetapi hanya reaksi panas dan emosi. Seolah-olahnya ada warga negara Malaysia yang dianggap tidak mempunyai hak di negara yang dikongsi bersama ini.
Lihatlah kepada kumpulan intelek yang dipanggil untuk berseminar di Trengganu pada 7 Jun lalu. Seminar Gagasan Satu Malaysia – Kesinambungan Satu Perjuangan yang sepatutnya menjelaskan konsep 1Malaysia sebenarnya gagal memudahkan kefahaman orang ramai. Malah ia menambah kekeliruan ada. Ramai akademik membentang kertas kerja seperti Dr Thock Ker pong dari Universiti Malaya, Dr Kamaruddin Said dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia. Mereka menceritakan soal rasa kepinggiran atau sense of alienation. Dr Kamaruddin menceritakan rasa kepinggiran Melayu dalam negara sendiri dengan menyalahkan semua ini kepada penjajah British tanpa menyebut langsung tentang kesalahan dan kelemahan dasar kepemimpin Melayu sejak lebih 50 tahun kita merdeka. Dr Thock pula berkongsi rasa kepinggiran Cina kerana pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru manakala Dr Sivamurugan menyebut rasa kepinggiran India secara keseluruhan. Seminar ini jelas menunjukan semua kaum rasa terpinggir tetapi pihak intelek dan akademik gagal mencari kata sepakat mengapa kita rasa terpinggir dan mengapa kita rasa liat untuk bersatu.
Seperti kebanyakan seminar anjuran kerajaan atau universiti awam, tidak sah kalau Menteri tidak rasmi. Maka yang merasmikan seminar itu ialah tidak lain dari Ahmad Zahid Hamidi, kini sebagai Menteri Pertahanan dan kata sesetengah penganalisa politik, bakal Perdana Menteri satu hari nanti. Zahid menyarankan Gagsan Satu Malaysia perlu “dimasyarakatkan” agar sentiasa difahami, dihayati dan dijadikan pedoman dalam proses pembinaan negara bangsa oleh setiap lapisan masyarakat. Rasanya saya pernah dengar ungkapan “dimasyarakatkan” tapi entah apa pula maksudnya. Agaknya ia bererti konsep 1Malaysia itu mestilah mudah difahami lalu diterima oleh semua rakyat. Tetapi bila pemimpin-pemimpin pun belum faham konsep itu sampai ke hari ini, bagaimana mahu dimasyarakatkan?
Zahid turut menyebut tentang pandangan “ caca marba” dari banyak pihak akibat sistem pendidikan yang berbeza. Ini bererti Menteri orang kanan Perdana Menteri sendiri mahukan sistem pendidikan yang ada sekarang ditukar kerana keadaan caca marba yang disebut itu timbul kerana bahasa pengantar yang berbeza. Adakah Zahid mahu supaya bahasa pengantar di semua sekolah ditukar kepada satu bahasa? Kalau ini saranan Menteri, bukankah ini asimilasi yang Najib bersungguh-sungguh nafikan di Parlimen? Mengapa sistem pendidikan sekarang yang dilaksanakan oleh UMNO dan Barisan Nasional sendiri sejak merdeka kini dianggap caca marba oleh Menteri Kanan itu? Bagaimana pula pendirian Menteri Pelajaran dalam hal ini? Nampaknya bukan saja 1Malaysia kelam kabut, sistem pendidikan yang dicipta mereka sendiri juga sudah diakui kelam kabut.
Zahid juga mahu diwujudkan level playing field atau kesetaraan peluang dan keupayaan sebagai satu usaha kearah mencapai matlamat 1Malaysia. Kesetaraan peluang atau equal opportunity boleh kita faham tetapi kesetaraan keupayaan itu apa erti nya? Bunyinya macam peruntukan dalam sistem sosialis atau komunis tapi benarkah begitu? Ini perlu diperjelaskan kerana pentadbiran Najib tidak boleh berselindung di sebalik bahasa dan ungkapan yang sukar difahami rakyat. Apatah lagi kalau para pemimpin BN pun tak sekata apa itu 1Malaysia.
http://myzaidibrahim.wordpress.com/
No comments
Post a Comment