Carik-carik bulu ayam dalam PAS
Oleh Zukri Aksah
KUANTAN, Jun 24 – Tentulah episod kemelut kerajaan perpaduan adalah tempoh yang amat meresahkan, bukan sahaja kepada penyokong PAS dan Pakatan Rakyat tetapi juga kepada rakyat Malaysia amnya. Persoalan berpadu atau tidak, bersatu atau tidak tinggal tidak berjawab.
Yang nampak jelas PAS hampir berpecah, Pakatan Rakyat hampir terbelah.
Mujurlah tindakan diambil cepat, Pakatan Rakyat segera bermesyuarat dan membuat ketetapan, menolak kerajaan perpaduan, muktamad!
Datuk Nik Aziz Nik Mat yang asalnya telah meminta Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS meletak jawatan, mengosongkan kerusi Parlimen Bachok dan menyertai Umno telah menarik balik kata-kata tersebut, tiada lagi boneka Umno, dalam perjumpaan khas yang berlangsung hampir dua jam yang berakhir dengan suasana ceria dan muhibah.
Mengulas perkembangan ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan perkembangan ini adalah satu tanda bahawa persaudaraan Islam yang dipupuk dalam PAS merupakan satu tautan kasih yang tidak mungkin pudar, dan ia tidak mungkin akan terlerai.
Dalam kenyataannya, Nasrudin juga mengharapkan agar peristiwa ini akan dihayati oleh semua pengikut politik, sama ada yang di warung dengan gosip politiknya, yang di kafe siber dengan blog politiknya, mahupun ahli-ahli parti politik sendiri, tidak kiralah dari parti PAS sendiri, PKR, DAP, Umno, MCA, MIC dan lain-lain.
Nasrudin percaya banyak hati yang sakit dan perasaan yang cedera akibat kemelut kerajaan perpaduan ini. Ia terlalu digembar-gembur sehingga berubah menjadi fitnah yang hampir memusnahkan PAS.
Beliau dalam seruannya memohon ahli-ahli PAS khususnya dapat membina kembali persaudaraan dalaman yang kelihatannya mengalami kerosakan struktur yang serius.
Dalam menutup penjelasannya, Nasrudin sempat berpesan kepada Umno, supaya dalam menghayati peristiwa ini, Umno perlu juga membuat penilaian kendiri.
Jika dengan menyambut idea kerajaan perpaduan, Umno berharap PAS akan berpecah dan lemah, Pakatan Rakyat akan musnah, ternyata harapan Umno itu gagal sepenuhnya. Carik PAS adalah carik bulu ayam, lama-lama bertangkup juga.
No comments
Post a Comment