Gesa kerajaan utamakan pengajaran akhlak - Khoo Khay Kim


Kerajaan harus menitik-beratkan pengajaran akhlak serta kegiatan ko-kurikulum dalam pembelajaran daripada jumlah subjek yang harus diambil dalam peperiksaan.

Demikian pandangan yang diutarakan tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai respons langkah kerajaan menghadkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil 10 mata pelajaran sahaja.

Beliau berpandangan, pihak Kementerian Pelajaran juga harus memikirkan masa pembelajaran yang telah dijimatkan bagi subjek yang telah dikurangkan.

"Jika kerajaan tidak menjadikan kegiatan ko-kurikulum juga penting, itu juga tidak bermanfaat. Banyak perkara yang tidak perlu diajar tetapi boleh diamalkan seperti akhlak. Ia lebih baik daripada diajar dan seterusnya pelajar perlu mengambil peperiksaan,"katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Dalam pada itu, Khoo juga menolak tanggapan apabila jumlah subjek dihadkan akan menyekat kepintaran pelajaran.

"Dengan mengambil 20 atau 30 mata pelajaran, bukan bermakna murid-murid bertambah pandai. Ramai pelajar yang apabila memasuki universiti tidak mengetahui perkara-perkara lain seperti menggunakan perpustakaan. Ini kerana mereka hanya belajar seperti burung kakak tua.

"Jadi, jumlah bilangan subjek bukan menjadi ukuran dalam menilai kepintaran pelajar. Seseorang penuntut itu mesti menjadi manusia yang lebih sempurna dan bukan hanya pandai serta berjaya dalam peperiksaan,"tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.