Pilihan Raya Kecil: Manik Urai: Mustapa mahu guna kaedah 2004

Oleh Samsuri Roslan

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Muhamad yakin Barisan Nasional (BN) akan menggunakan kaedah 2004 dalam usaaha menawan kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai daripada PAS dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada 14 Julai depan.


Ketika itu, Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri sebelum jawatan tersebut diambilalih oleh Datuk Seri Annuar Musa pada tahun 2004 juga. Dalam pilihan raya umum 2004 itu, parti Umno telah berjaya merampas kerusi dari PAS dengan kelebihan majoriti 53 undi sahaja.
Dalam pilihan raya itu dengan jumlah pengundi 10,705, calon Umno Mohamad Zulkepli Omar mendapat 4,362 undi sementara calon Pas, Muhamad Zamzuri Mat Lazim mendapat 4,390 undi. Undi rosak adalah 105 sementara jumlah yang keluar mengundi adalah 8,776.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Umno telah berjaya merampas kerusi itu selepas dikuasai oleh calon PAS, Ismail Yaacob dalam pilihan raya umum 1999 dengan majoriti 1,518 undi.

Bagaimanapun ketika Annuar menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, dalam pilihan raya umum Mac 2008 lepas, calon PAS berjaya menawan semula kerusi Dun Manik Urai dengan kelebihan majoriti 1,352 undi. Calon Umno, Mohamae Zulkefli Omar mendapat 4394 undi sementara calon Pas, Ismail Yaacob pula memperoleh 5,746 undi. Undi rosak adalah 142 dan yang bilangan keluar mengundi adalah 10,332 undi.

Pilihan raya kecil Dun Manik Urai diadakan berikutan kematian Adun, Ismail pada 22 Mei lalu. Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf memberitahu, penamaan calon akan berlansung pada 6 Julai sementara hari pengundian pula adalah pada 14 Julai 2009 ini.

Dia juga memaklumkan bahawa daftar pemilik induk 2008 digabungkan dengan Daftar Pemulih Tambahan Suku Tahun Pertama tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 22 Mei 2008 adalah mengandungi 12,293 pengundi termasuk 25 pengundi pos.

Sikap Umno terhadap pilihan raya kecil Dun Penanti adalah berbeza jika di bandingkan dengan Pilihan raya kecil DUN Manik Urai. Sebelum Presiden yang juga Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tindakan samada mahu bertanding atau sebaliknya, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan telah membuat kenyataan awal bahawa Umno perlu bertanding.

Walaupun dia menyebut ia adalah kenyataan secara peribadi tetapi dia yang dilantik oleh Najib sebagai Ketua Penerangan Umno memberi tekanan keperluan Umno bertanding di Dun Manik Urai.

Begitu juga kenyataan dia disokong seratus peratus oleh Mustapa yang akan menggunakan kaedah pilihan raya umum 2004 untuk menawan semula kerusi Dun terbabit. Kesediaan Umno mahu bertanding semakin terserlah apabila ia turut disokong oleh Timbalan Presiden Umno yang juga meranggap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa Umno akan bersiap sedia bagi menggerakkan jentera Umno Negeri sehingga menjelang hari penamaan calon dan hari mengundi.

Akhirnya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan pada 29 Mei lalu, Najib telah mengumumkan bahawa Mustapa dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya kecil Dun Manik Urai dengan Muhyiddin dilanik untuk menyelia gerak kerja.

Dia juga menyatakan bahawa Umno telah melakukan persiapan yang perlu di samping calon yang akan diletakkan di Dun tersebut adalah yang terbaik dengan syor daripada Badan Perhubungan Umno Negeri sendiri.

Walaupun mainstream media memetik cadangan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Muhamad supaya Umno bertanding kerusi Dun Penanti di samping kenyataan dari Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Jalil Majid yang menyebut parti ini hanya menghantar satu calon, namun Najib sudah memberi bayangan awal bahawa Umno tidak akan bertanding.

Najib menegaskan bahawa dia tidak akan `terjebak’ dalam permainan politik parti pembangkang terutamanya PKR yang mengosongkan kerusi tanpa sebab yang munasabah sehingga menimbulkan pelbagai kecaman sebagai pengejut dan `bacul’ namun Umno bertindak sebaliknya dalam pilihan raya kecil Dun Manik Urai.

Tindakan Najib disifatkan sebagai releven jika Adun mahupun Ahli Parlimen meninggal dunia atau menghadapi tindakan mahkamah yang menjurus ke arah keperluan parti ini bertanding.

Bagaimanapun kenyataan Mustapa yang menggunakan pendekatan pilihan raya umum 2004 disifatkan sebagai realistik dan mengakui hakikat bahawa Dun Manik Urai dalam Parlimen Kuala Krai adalah kubu Pas. Mustapha akui bahawa kemenangan majoriti calon Umno dalam Pilihan Raya Umum 2004 adalah 53 undi berbanding dengan majoriti yang diperolehi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1999 dan Pilihan raya Umum 2008.

Malahan beberapa pemimpin Umno di negeri ini turut mengakui hakikat bahawa Dun Manik Urai disifatkan sebagai “kubu PAS” dan mereka memerlukan jentera dan strategi luar biasa untuk menawan kembali.

Walaupun masih belum mengetahui sejauhmana mood pengundi namun mereka telah meletakkan satu asas dan pendirian kukuh bahawa tidak mudah untuk memperoleh kemenangan. Ini disifatkan sebagai kekuatan Umno dalam merangka strategi dan percaturan politik untuk mereka bergerak secara lebih tersusun dan berhati-hati.

Ia juga memberi ruang kepada Pas supaya turut bergerak dan aktif dengan kekuatan luar biasa setelah kepemimpinan Umno di bawah Mustapa telah menyedari hakikat tersebut. Kepemimpinan PAS tidak boleh terlalu terlalu yakin kerana wibawa Mustapha agak jauh berbeza jika di bandingkan dengan Annuar.

Umno juga telah menyedari hakikat kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008 lalu, Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Selambau.

Beberapa faktor yang menjadi penentu kepada kemenangan calon Umno mahupun PAS dalam Pilihan Raya Kecil Dun Manik Urai ini. Antara faktor adalah:-

Masih menguji sejauhmana wibawa Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam menerajui Kelantan.

Masih menguji sejauhmana wibawa Mustapa selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan BN Negeri.

Sejauhmana isu pembangunan dan faktor ekonomi menjadi pilihan kepada kepemimpinan PAS mahupun Umno.

Sejauhmana isu nasional boleh mempengaruhi pengundi-pengundi DUN Manik Urai.

Sejauhmana kekuatan strategi dan perpaduan jentera parti-parti yang bertanding.

Bagi kepemimpinan Umno negeri yang menyedari hakikat bahawa mereka boleh kalah mudah kerana ia adalah kubu PAS tidak menjadi kudis kepada keseluruhan Umno Malaysia. Begitu juga dengan kepemimpinan PAS negeri yang mungkin boleh tewas dalam pilihan raya kecil ini juga tidak akan kehilangan apa-apa kerana mereka masih menguasai penuh kerajaan negeri.

Bagaimanapun dengan realiti dan senario politik bahawa kemenangan Umno adalah berasaskan kepada majoriti 53 undi, hampir pasti Mustapa mahu meningkatkan majoriti undi kepada yang lebih tinggi. Jika tewas sekalipun mereka juga mahu mempastikan majoriti undi yang dimenangi calon PAS adalah lebih kecil berbanding majoriti undi pada tahun 1999 mahupun 2008.

Mampukan Umno menguasai Dun Manik Urai? Hanya pengundi yang menentukan nasib parti ini maupun PAS.

SAMSURI ROSLAN adalah Pengarang Rencana Watan ketika akhbar itu digantung permitnya semasa Operasi lalang 1987.

No comments

Powered by Blogger.