Pulau Pinang sedia terima RM700 juta pelaburan


SINAR HARIAN ONLINE


PULAU PINANG - Pulau Pinang sedia menerima kira-kira RM700 juta pelaburan daripada dua syarikat minggu ini, kata pengerusi jawatankusan eksekutif InvestPenang, Datuk Lee Kah Choon.

Kah Choon berkata, kerajaan negeri akan memuktamadkan niaga janji dengan kedua-dua syarikat yang kemudiannya diikuti dengan pemeteraian perjanjian untuk membeli tanah bagi kilang-kilang mereka.

“Kita perlu memuktamadkan beberapa isu terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian dengan syarikat berkenaan yang akan berpangkalan di tanah besar,” katanya dalam taklimat media di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat pertama berpangkalan di AS dan sebuah lagi ialah syarikat multinasional.

“Kami menjangka kedua-dua syarikat akan mewujudkan 200 pekerjaan mahir,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, negeri itu setakat ini telah menerima RM396 juta pelaburan asing.

St Jude Medical, yang menghasilkan produk pengurusan “cardiac rhythm”, telah mengumumkan pada Januari lepas untuk melabur RM108 juta dan Chakra Biotech, yang terlibat dalam penyaringan ubat-ubatan baru, mengumumkan pada Februari untuk melabur RM8 juta.

Kah Choon berkata, National Instruments, yang menghasilkan peralatan perisian dan perkakasan, akan melabur RM280 juta.

“Pelaburan mereka akan membantu mewujudkan 2,000 pekerjaan apabila mereka memulakan operasi,” katanya.

Sementara itu, Kah Choon berkata, Pusat Bimbingan dan Latihan Kerjaya (CAT) negeri telah menubuhkan program latihan khusus untuk para pelajar dari kalangan keluarga miskin tegar.

“Program itu akan memberi keutamaan kepada pemohon dari keluarga miskin tegar. Kami menawarkan 100 jawatan untuk mereka yang habis persekolahan dan pencari kerja tahun 2000-2008 yang telah mendaftar dengan pusat CAT,” katanya.

Beliau berkata pusat itu turut menawarkan pemohon yang berjaya dengan elaun khas RM800 sebulan dalam tempoh latihan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.