4 Ahli Politik Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah

Shah Alam , 03 November 2009 - Seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional antara lima yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini di Mahkamah Shah Alam.
Dituduh melakukan rasuah atau pemalsuan dokumen, mereka ditahan mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri ditahan bersama pembantunya kerana terlibat dalam pemalsuan invois-invois semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dahulu.
Pemalsuan invois tersebut bagi tujuan melaksanakan satu program yang tidak dijalankan.

Seorang lagi wakil rakyat BN, Yap Soo Sun yang merupakan bekas Adun Teratai dihadapkan dengan TUJUH pertuduhan selepas didapati mengemukakan permohonan peruntukan mengandungi butiran palsu untuk program perayaan yang tidak dijalankan, di empat lokasi, awal tahun lalu.

Seorang lagi ahli politik, iaitu bekas pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor, Yahya Mohd Shari, mengaku tidak bersalah atas kesalahan mengemukan invois mengandungi butiran palsu ke Pejabat Daerah Hulu Langat.

Invois itu bagi membekalkan barangan keperluan untuk program Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Selangor tahun lepas namun pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Exco Selangor Ronnie Liew Thian Kiew, iaitu Wong Chuan How didakwa membuat tuntutan palsu ke Majlis Perbandaran Sepang untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu.

Wong dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000.
Wong mengaku tidak bersalah dan mahu mempertahankan diri di mahkamah.
“Saya rasa Wong tidak ada apa-apa kes kerana saya tahu semua projek yang disebutkan dan saya tak nampak ada apa kesalahanya dari segi teknikal juga tiada apa tiada unsur rasuah,”katanya.

“Wang tersebut masih berada didalam akaun Pusat Khidmat beliau walaupun program yang direncanakan belum dapat dijalankan kerana pemohon program tersebut tidak berkesempatan untuk melaksanakanya,”jelasnya.

Hakim Seksyen Shah Alam, Mat Ghani Abdullah membebaskan semua tertuduh dengan ikat jamin.

Abd Rahman Bakri yang menghadapi lapan pertuduhan dibebaskan dengan ikat jamin RM 30,000 oleh seorang penjamin.

Manakala Yahya Mohd Shari yang menghadapi dua pertuduhan diperintah membayar wang jaminan RM 10,000 oleh seorang penjamin.

Sementara itu, Soo Sun yang menghadapi tujuh pertuduhan diperintahkan membayar wang jaminan RM25,000 oleh seorang penjamin.

Wong pula yang menghadapi tiga pertuduhan diperintahkan membayar wang jaminan RM 5,000 oleh seorang penjamin.(ShakiraBuang-TvSelangor)

No comments

Powered by Blogger.