Dr Asri Akan Segera Disiasat

Shah Alam , 2 November 2009 - Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.

“Kita telah pun menerima banyak aduan tentang kegiatan Dr Asri ini sejak beberapa tahun yang lalu dan kita memang telah beberapa kali cuba mengambil tindakan dan kali ini kami berjaya dan beliau akan didakwa selepas kertas siasatan itu siap,’katanya.

Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Datuk Khusrin menafikan pendakwaan ini bermotifkan politik. Pihaknya bertindak mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan sejak sekian lamanya.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

“Kepada mana-mana pihak yang ingin membuat ceramah di negeri Selangor ini dinasihatkan agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan dan diminta menghormati undang-undang dan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Dimana semua pihak tidak terkecuali ,dimana sahaja didalam negeri Selangor ini perlu mendapatkan tauliah dari Jabatan Agama Islam,”jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bangunan Jais, petang tadi.

Turut hadir di tempat kejadian, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabbi,Datuk Khusrin berkata ia tidak sesuai untuk dijelaskan sekarang, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian hari ini yang mendakwa Jais menyiasat bekas mufti Perlis ini kerana menyebarkan ajaran Wahabbi.

Dr Asri mencabar pihak yang membuat tuduhan itu supaya tampil dan mengemukakan bukti.(ShakiraBuang-TvSelangor)

No comments

Powered by Blogger.