Dua penuntut sekolah Islam mati ditembak di Pattani

BANGKOK: Dua penuntut sebuah sekolah pengajian Islam berasrama mati, manakala seorang lagi parah apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah mereka di wilayah bergolak Pattani, malam tadi.

Jurucakap polis berkata, Mohamad Mohamad Zin, 24, dan Abdullah Ismail, 18, mati di tempat kejadian manakala Mohamad Sofi Harun, 18, dimasukkan ke Hospital Pattani.

Dalam kejadian jam 8 malam semalam, di daerah Panarek, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal melepaskan tembakan ke arah ketiga-tiga mereka ketika mereka berjalan ke gerai makan berhampiran untuk makan malam.

Beliau berkata Mohamad juga merupakan guru tadika di sekolah yang sama.

Lebih 3,600 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku sejak kumpulan pemisah memulakan semula gerakan bersenjata pada Januari, 2004 untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah majoriti penduduk Islam iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala.

Bangkok, yang menempatkan lebih 60,000 tentera di kawasan itu, berkata kejadian keganasan telah menurun berbanding tahun sebelumnya, tetapi kejadian letupan bom dan tembakan masih berlaku. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.