Imej PAS dirosakkan oleh rakan Pakatan?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Pendedahan bahawa majoriti generasi muda menolak PAS oleh Pensyarah Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah di Seminar Memperkasakan PAS baru-baru ini tidaklah mengejutkan walaupun majoriti golongan tersebut juga adalah penyokong PAS dalam pilihan raya umum lalu.



Golongan muda hari ini adalah kumpulan yang kritikal kerana peluang untuk terdedah kepada maklumat lebih baik. Mereka lebih berpendidikan berbanding generasi lama. Mereka membuat penilaian dengan analisis dan penelitian.

Ia berbeza dengan sebahagian besar generasi lama yang menelan bulat-bulat segala maklumat yang datangnya dari kerajaan dan mempercayainya seolah-olah satu kepercayaan agama.

Saya menduga seorang tua di kampung, "Pak Cik undi apa pilihan raya baru ni?"

Dia menjawab ikhlas, "Dari dulu aku dok pangkah 'kapal layar' tulah ... memang tak ubah dah." Dia mewakili golongan lama yang memugar kekuatan BN tetapi semakin hari semakin berkurangan kerana ditelan bumi.

Golongan muda lain caranya. Jika persepsi golongan muda terhadap PAS boleh berubah dengan mendadak, maka tiada jaminan bahawa persepsi mereka terhadap BN akan kekal sampai bila-bila. Tidak pelik juga jika dalam masa setahun selepas ini majoriti generasi muda akan kembali menolak BN. Ia boleh berlaku dengan cepat kerana itulah sifat golongan muda di zaman IT ini.

Cuma apa yang perlu disedari oleh semua ialah penolakan mereka terhadap PAS tentulah bersebab. Kajian dibuat oleh Dr Abu Hassan hanya terhadap PAS, tidak bermakna persepsi golongan muda terhadap KeADILan atau DAP berbeza. Saya mengagak bahawa persepsi mereka terhadap semua parti Pakatan Rakyat, hampir sama.

Sokongan bukan Melayu dan golongan muda Melayu terhadap semua parti pembangkang pada pilihan raya umum 2008 lebih disebabkan oleh penolakan terhadap BN. Mereka tidak mengundi Pakatan Rakyat kerana gabungan itu belum wujud. Yang ada cuma permuafakatan antara parti-parti pembangkang.

Tetapi apabila BN kalah di lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga di Pusat, permuafakatan PAS-KeADILan-DAP mula dianggap satu gabungan, macam BN. Mereka lalu membandingkan antara Pakatan Rakyat dan BN.

Analisis perbandingan inilah sebenarnya yang telah banyak meruntuhkan kepercayaan mereka terhadap Pakatan Rakyat. Sementelahan, walaupun wujud media baru namun media-meda talibarut BN masih mendominasi penyaluran maklumat dan masih berkuasa di negara ini.

Episod perbezaan dan pertelingkahan antara parti dan antara individu dalam Pakatan telah dilaporkan satu demi satu sejak 9 November 2008 hingga ke hari ini. Sama ada antara sesama pemimpin dalam satu parti atau atau antara parti; semua itu merupakan 'sumbangan besar' terhadap pemusnahan imej Pakatan.

Tidak dinafikan parti-parti komponen BN pun berentap juga sesama sendiri dan di dalam satu parti, sehingga ada yang berpecah dua dan tiga. Tetapi kebejatan BN adalah lumrah, macam sinonimnya imej rasuah pada mereka.

Rakyat sudah tak peduli BN rasuah tetapi jika Pakatan yang rasuah ia menjadi dosa besar sebab mereka masih belum berkuasa di Pusat. Lagipun BN sebagai pemerintah yang berkuasa dan berduit mempunyai banyak hadiah untuk rakyat yang boleh ditukar dengan kebejatan mereka.

Rakan saya seorang Ketua Cabang KeADILan di Kedah berkecil hati membaca tulisan saya yang lalu: "KeADILan pula adalah parti yang tiada akar umbi. Ahli-ahli KeADILan untuk satu cabang (kawasan) kadangkala tidak melebihi satu cawangan PAS pun." Mujur dia menganggapnya sebagai satu cabaran bukan penghinaan.

Realiti dalam politik negara juga begitu. Kerenah banyak datang dari KeADILan. Bermula dari Ahli Parlimen Kapar, Adun Changkat Jering, Adun Behrang, Adun Bukit Lanjan, Adun Bukit Selambau, Adun Lunas dan Adun Pelabuhan Kelang; semua itu adalah pencetus kontroversi yang menyumbang palitan lumpur rakan dalam Pakatan.

Keyakinan rakyat yang mengundi pembangkang dalam pilihanraya lalu kini terhakis. Ketidakyakinan golongan muda terhadap BN boleh jadi masih kekal, namun keyakinan terhadap Pakatan pula yang luntur. Itu menjadi faktor ramai blogger propembangkang dalam pilihanraya lalu kini menjadi 'bebas' macam Ibrahim Ali. Melibas kiri dan kanan.

Apa yang berlaku dalam KeADILan banyak disumbangkan oleh kemunculan YB yang asalnya adalah calon bidan terjun, tidak berkualiti dan tidak berjati diri. Tiba-tiba menang dan lupa diri. Mudah bagi BN menjadikan mereka lembu tunggangan dengan umpan keduniaan yang lumayan.

Pasti untuk pilihan raya umum akan datang, parti-parti dalam Pakatan akan lebih teliti memilih calon. Bukan setakat bermoral tetapi juga tahu disiplin dan adab berpolitik sesama rakan politik.

Orang macam Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin tidak perlu ada dalam Pakatan. Hairan juga melihat dia membelasah PAS dalam isu (kononnya) PAS mengadakan baiah menceraikan isteri jika keluar parti. Hujah-hujahnya lebih Umno daripada Umno beserta andaian yang sangat jahat terhadap PAS.

Presiden PAS berjanji akan menyiasat laporan kononnya wujud baiah seperti itu, sebab ia bukan arahan yang datang dari Pusat. Namun jika benar ia berlaku, berapa ratus orang isteri wakil rakyat PAS yang tertalak kerana lompat parti? Tiada seorang pun! Walhal beribu-ribu wanita yang diceraikan di tanahair bukan atas sebab politik, tidak dipedulikan oleh Zul Nordin, Sharizat Jalil dan Jamil Khir Baharom.

Wajar kiranya Zulkifli Nordin menyertai kem Ibrahim Ali, boleh melibas parang tumpulnya ke kiri kanan kerana kewujudan orang seperti beliau dalam Pakatanlah menjadi penyumbang kepada ketempangan imej PAS.

Yakinlah, golongan muda boleh kembali menyokong PAS tetapi pembetulan perlu dilakukan bukan sahaja terhadap PAS tetapi parti-parti dalam Pakatan.

No comments

Powered by Blogger.