Kurang persediaan punca penyokong Kelantan kecoh

KOTA BAHARU 16 Nov. — Kelab Penyokong Red Warriors Kelantan di Lembah Klang mendakwa, kurang persediaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi faktor penyumbang utama kekecohan yang berlaku dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, 7 November lepas.

Presiden kelab itu, Izuan Abdul Hadi berkata, penyokong Kelantan tidak harus dipersalahkan 100 peratus dan menjadi punca utama kekecohan itu berlaku.

Beliau berkata, FAM tidak dapat membuat persiapan rapi daripada segi logistik tidak cukup kerana tempoh jarak antara perlawanan separuh akhir kedua dan akhir antara Kelantan dengan Negeri Sembilan menjadi punca utama insiden itu.

"Oleh itu, FAM tidak harus meletakkan kesalahan kekecohan berlaku pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam itu,” katanya.

Beliau menyifatkan tindakan FAM mengenakan denda ke atas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kerana didakwa penyokong Kelantan mencetuskan kekecohan itu sebagai tidak adil dan berat sebelah. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.