Lebih 2/3 Ahli Jawatankuasa Pusat MCA sokong Pelan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat menerima 29 sokongan secara bertulis daripada ahli Jawatankuasa Pusat (CC) untuk menyokong Pelan Perpaduan Besar (GUP) MCA.

Beliau berkata ini menunjukkan semakin ramai ahli parti dan CC, yang keanggotaannya 42 orang, menyokong rancangan itu.

Walaupun pihak yang mahu mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kedua mendapat lebih satu pertiga sokongan daripada ahli CC tetapi Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, berkata angka yang menyokong bukan soal utama.

"EGM diadakan untuk menyelesaikan masalah, bukanlah untuk menimbulkan masalah. Biro Perundangan yang kata usul EGM itu melanggar perlembagaan parti, bukan saya," kata Ong yang juga Ahli Parlimen Pandan kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Sihat Sepanjang Hayat 2009 peringkat Selangor.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang tindakan yang diambil haruslah mengikut perlembagaan parti.

Ong berkata Biro Perundangan MCA telah meneliti usul-usul EGM kedua yang dibentang dan telah memberi taklimat kepada ahli CC bahawa usul itu melanggar perlembagaan parti.

Kumpulan yang menyokong Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mengadakan EGM pada 28 November ini bagi mendapatkan mandat daripada ahli parti untuk mengadakan pemilihan pemimpin parti yang baru. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.