Luahan Hati Ketua Parti Katak Semalaysia

Ibrahim mahu BN bantu YB Bebas

KOTA BHARU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) wajar memberi bantuan kepada wakil rakyat Bebas bagi membolehkan rakyat di kawasan yang diwakili mereka dapat menikmati pelbagai kemudahan asas dengan sempurna.

Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali, berkata perkara ini harus dilihat secara positif bagi membolehkan wakil rakyat berkenaan menjalankan tanggungjawab diamanahkan kerana sumbangan disalurkan bukannya untuk kepentingan wakil rakyat itu sendiri.

Katanya, wakil rakyat Bebas tidak mempunyai kerajaan atau parti untuk menanggung segala keperluan rakyat di kawasannya tidak seperti wakil rakyat Pas serta BN, menyebabkan kebanyakan kos kemudahan asas serta keperluan rakyat terpaksa ditanggung menggunakan peruntukan sendiri.

“Sememangnya saya amat mengalukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam (kelmarin) dan isu ini harus dilihat secara positif kerana ia membabitkan amanah rakyat, bukannya untuk kepentingan wakil rakyat Bebas itu.

“Memandangkan wakil rakyat Bebas tidak mempunyai parti atau kerajaan menanggungnya, kenyataan Muhyiddin wajar serta tepat sekali kerana ada pihak iaitu rakyat yang harus ditanggung,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa BN sedia menimbang untuk membantu wakil rakyat Bebas yang menyokong parti pemerintah bagi memastikan tanggungjawab dan tugas mereka kepada rakyat tidak terjejas.

Ibrahim berharap pemberian bantuan Kerajaan Pusat itu tidak akan menjadi isu nanti terutama membabitkan komponen BN atau Umno bahagian kerana ia disalurkan kepada wakil rakyat Bebas, tidak ke Umno bahagian atau komponen BN.

Katanya, dalam kes ini, pihak berkenaan harus melihat perkara ini secara positif kerana hanya wakil rakyat saja yang mendapat hak menerima bantuan itu bagi disalurkan kepada penduduk di kawasannya.

“Saya bimbang juga, perkara ini akan mencetuskan isu di kalangan komponen BN atau Umno bahagian yang mempertikaikan mengapa bantuan itu diberikan kepada wakil rakyat bebas, bukan Umno bahagian atau komponen BN.,” katanya.

“Sebenarnya, mereka tidak mempunyai hak dalam isu ini. Hanya wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap bantuan itu kerana akhirnya rakyat yang akan menikmatinya, bukan wakil rakyat itu,” katanya.

Beliau berkata, segala bantuan atau peruntukan yang diperlukan oleh rakyat di kawasan tertentu, hanya wakil rakyat yang akan menolong menyampaikan kepada Kerajaan Pusat.

“Wakil rakyat mendapat mandat daripada rakyat dan hanya dia saja menjadi penyampai serta yang berhak ke atas bantuan yang diberikan Kerajaan Pusat,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.