MAIPP didesak pulihara kubur atas tanah wakaf Kampung Kolam

Ali Hashim

PULAU PINANG, 20 Nov: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) didesak supaya segera memperbaiki kawasan makam perkuburan yang telah dicemari dengan projek pembinaan pembangunan diatas tanah wakaf Lot 1233 Jalan Kampong Kolam, Pulau Pinang.

Dalam tinjauan yang dilakukan didapati 20 buah kubur orang Islam yang terletak dalam satu kawasan binaan telah tidak dipulihara secara baik dan sempurna oleh pihak kontraktor dan juga MAIPP sebagai pemilik kepada kawasan tanah wakaf tersebut.

Menurut Ketua Penerangan PAS Tanjung, Roshidi Salim masalah ini telah lama diajukan kepada Yang Dipertua (YDP) MAIPP, Shabudin Yahaya sebelum ini.

"Kami bukan saja mendesak Shabudin selaku YDP MAIPP supaya segera memperbaiki kawasan makam yang telah dicerobohi dan dicemari oleh mereka, tetapi juga pernah menghantar batu nisan sebelum ini kepada mereka sebagai satu tanda peringatan.

"Tapi sehingga ini Shabudin yang akan pergi meninggalkan MAIPP pada Disember yang akan datang belum lagi menunaikan janji-janjinya untuk memperbaiki dan membina semula kawasan makam yang telah mereka cemari bagi pembinaan projek pembangunan tersebut."

Menurut Roshidi lagi pembangunan tanah wakaf tersebut adalah untuk membangunkan serta mengubahsuai rumah kedai dan membina kawasan letak kereta di atas tanah wakaf tersebut.

"Kita tidak menolak pembangunan yang MAIPP lakukan, tetapi mereka haruslah mengambil kira sensitiviti masyarakat Islam yang lain supaya pembangunan yang mereka lakukan tidak mendatangkan kesan dan masalah yang sebaliknya kepada masyarakat sepertimana yang mereka sedang laksanakan sekarang," tegas Roshidi lagi.

No comments

Powered by Blogger.