Malaysia Perlu Pemulihan Menyeluruh: Khalid

PETALING JAYA 4 NOV -

Reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh adalah perlu untuk Malaysia mencapai negara maju.

Bercakap kepada lebih 500 hadirin di sini semalam, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata enjin ekonomi negara mampu dipacu laju hanya jika ia diuji iklim yang menggalakkan persaingan.

“Dasar ekonomi yang berjaya perlu disaluti dasar pengagihan yang adil dan sama-rata, dengan memastikan semua rakyat daripada pelbagai keturunan mendapat peluang sama-rata berasaskan keperluan dan meritokrasi,” tegas Khalid.

“Hal ini tidak bermakna orang Melayu kehilangan hak mereka. Apabila kerajaan negeri Selangor mensasarkan program untuk golongan miskin, ia tidak dinafikan sebenarnya menguntungkan sejumlah besar orang Melayu,” tambahnya.

Khalid, diantara tokoh korporat yang disegani di negara ini berkata demikian di wacana Bajet 2010 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya semalam.

Khalid dalam ucapannya memberi penekanan kepada persaingan terbuka sebagai tujahan melawan kelembapan ekonomi hari ini.

Namun anjakan ini hanya akan berlaku sekiranya rakyat bawahan diberdayakan, autonomi penjawat awam dari pengaruh politik kepartian diperkukuh dan perbelanjaan ringgit didisplinkan.

“Pada tahun 2008, RM8.2 bilion dibelanjakan oleh Kementerian Pertahanan, di mana 54 peratus dibuat secara runding terus. Ini bermakna bahawa tender terbuka berkurangan sejak tahun 2006. Walhal semua dokumen berkaitan perlu disertakan sebagai bukti kepada rakyat bahawa kerajaan mengamalkan sikap kebertanggungjawaban,” kata Khalid.

“Saya diberitahu keseluruhan projek KPI kini dijadikan aktiviti berbayar kepada firma rundingan di luar kerajaan. Adakah ia bermakna yang semua projek kerajaan, termasuk NKRA mesti dikendalikan konsultan yang dibayar dengan upah yang mahal walhal tugas tersebut mampu dilaksanakan pegawai-pegawai kanan kerajaan?” soalnya.

Selain terlepas-pandang masalah keperluan asas seperti beban sewa kediaman, lonjakan harga makanan dan rawatan kesihatan, tanggungan kenderaan peribadi dan awam serta kos pendidikan yang tinggi, Khalid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu mengemukakan dasar yang jelas membasmi musuh nombor satu negara: rasuah.

“Apabila kita membaca buku bajet 2010, kita dapati ia kekurangan hala tuju ekonomi dalam situasi ekonomi negara sekarang. Ungkapan-ungkapan seperti “ekonomi pendapatan tinggi”, “perubahan daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi berasaskan industri”, dan “peralihan kepada model ekonomi berasaskan inovasi, kreativiti dan aktiviti bernilai tambah tinggi” sebenarnya merupakan percubaan yang lemah dan kekurangan isi. Ungkapan-ungkapan tersebut hanyalah perulangan yang kerap didendangkan sebelum pembentangan bajet 2010 ini,” kata Khalid.

“Kini malahan setiap pemilik kad kredit dikenakan bayaran RM50 walaupun sebelumnya kad tersebut diperoleh tanpa dikenakan caj tertentu. Datuk Seri Najib berkata kajian sedang di peringkat akhir tentang impak cukai barangan dan perkhidmatan dan kerajan pusat akan membayar RM22 juta untuk melaksanakan kajian ini. Walhal negara perlu meneroka sumber hasil alternatif selain petrol dan gas kerana dalam jangka masa terdekat Malaysia mungkin jadi pengimport minyak,” tambah beliau.

Khalid melahirkan kebimbangan kerana belanjawan 2010 tidak mengemukakan dasar yang ampuh memaksimakan kepenggunaan sumber negara. Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa kerajaan melihat semula skim penswastaan besar-besaran yang dirancang dalam belanjawan ini.

“Walaupun pada peringkat awalnya ia merupakan premis yang berkesan untuk mengurangi saiz perbelanjaan kerajaan, namun kita perlu faham bahawa penswastaan di Malaysia dipenuhi pelbagai kecacatan. Misalnya, pada masa lalu, selepas sahaja badan-badan kerajaan diswastakan, mereka biasanya berakhir dengan kerugian besar, yang memaksa kerajaan membantu membayarkan hutang-piutang berjumlah ratusan juta ringgit,” tegas beliau.

“Rakyat Malaysia sebenarnya sudah melalui pengalaman pahit akibat penswastaan yang hanya menguntungkan kroni dan individu tertentu. Duit pembayar cukai sebenarnya digunakan untuk memewahkan individu tertentu ini,” tambahnya.

No comments

Powered by Blogger.