MCA hargai keprihatinan Najib - Heng

KUALA LUMPUR 20 Nov. — Setiausaha Agung Wanita MCA Senator Heng Seai Kie berkata parti itu menghargai keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berjumpa dengan semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA.

Beliau berkata MCA menganggap tindakan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional sebagai tepat demi menjaga keharmonian.

"Kita faham dengan keprihatinan beliau terhadap semua parti terutama bagi yang sedang mengalami masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Antarabangsa Asia Ke-24 di sini hari ini.

Pameran yang berlangsung sehingga 31 Jan tahun depan itu berlangsung di Balai Seni Lukis Negara dengan menampilkan 230 pelukis dari China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura dan Malaysia.

Mengulas kenyataan Najib semalam yang mahu berjumpa dengan semua pemimpin kumpulan yang bertelagah dalam MCA secara berasingan sebelum mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 Nov untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis dalam parti itu,Heng, yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, berkata setiap parti bertanggungjawab untuk menyelesaikan sendiri sebarang krisis tetapi dalam hal ini anggota MCA beranggapan campur tangan Perdana Menteri perlu bagi membantu meleraikan ketegangan di dalam MCA. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.