MCA masih mendesak pemilihan Presiden secara terus

PUTRAJAYA 8 Nov. — Apabila Datuk Seri Ong Tee Keat dipilih sebagai Presiden MCA kira-kira setahun lalu, beliau telah mencadangkan satu pemilihan presiden secara terus bagi parti itu tetapi rancangan itu tergendala berikutan masalah dalaman.

Dan kini apabila masalah parti dapat diselesaikan, Tee Keat berharap agenda untuk merealisasikan cadangan itu akan kembali kepada landasannya semula.

"Dalam usaha untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, kita perlu menyusun semula dan memberi nafas baru kepada parti. Kita amat serius tetapi malangnya kita perlu mengakui ia telah tergendala. Bagaimanapun, kita memilih untuk meneruskannya.

“Saya mengalu-alukan sebarang usaha ke arah itu. Sama ada kita menjadi orang yang pertama atau tidak, itu perkara kedua kerana setiap parti mempunyai keutamaan dan masalah masing-masing untuk ditangani,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Dalam menjelaskan kelewatan itu, Tee Keat berkata, parti telah mewarisi pendaftaran keanggotaan dari mereka yang sebelum ini yang perlu disahkan dan diaudit berikutan dakwaan mengenai keanggotaan yang tidak wujud.

Pada masa yang sama, beliau berkata, “terdapat tentangan untuk berubah” di kalangan parti kerana masih ada “yang berakar umbi” dengan pendapat bahawa perwakilan parti adalah mereka yang perlu memilih kepimpinan parti, dan bukan anggota-anggota lain. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.