Memperkasa parti mendepani kemenangan PRU13

PAS menjadi parti yang paling berpengalaman dalam sejarah politik tanah air, berjuang sejak zaman penjajah, melahirkan pemimpin yang tidak pernah tunduk kepada penjajah.



Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG

Berikut adalah ucaptama Presiden PAS dalam Seminar Khas Memperkasakan Parti pada 7 November lalu, di Markas Tarbiyyah, Taman Melewar.




"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberianNya), lagi Maha Mengetahui.

"Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah).

"Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang." (Maksud Al-Maidah, ayat 54-56)




PENUBUHAN Parti Islam SeMalaysia (PAS) sejak separuh abad yang lalu, adalah memenuhi perintah Allah SWT yang mewajibkan kesinambungan risalah Islam yang syumul, serta mewujudkan kumpulan Islam yang bercirikan daripada ayat-ayat tersebut:

1. Menegakkan Islam yang menyeluruh, yang menjadi risalah para Rasul Alaihimus Solatu Wassalam, berakhir dengan kedatangan Nabi Akhir Zaman, Muhammad s.a.w. yang wajib diikuti dan diteladani dalam semua marhalah, akidah, syariah dan akhlak. Mengislamkan individu, masyarakat dan negara dalam segala aspeknya.

2. Mewujudkan saf kumpulan Islam yang teguh, bercirikan keteguhan ukhuwwah di kalangan pendokong Islam dan umatnya, serta izzah dalam menghadapi musuh-musuh Islam dan perintah penganut Islam yang jahil dan lemah, tanpa putus asa, takut dan hina.

3. Sedia berjihad secara faham dan bijak (fiqh al-jihad), menegakkan Islam sehingga berkuasa dan mengatasi segala yang lain.

4. Wala' kepada Allah, Rasul dan kepimpinan Islam yang berwibawa.


MEMPERKASAKAN PARTI


Kewajipan menegakkan Islam yang penuh cabaran, bukan sahaja ke arah mencapai kemenangan, dalam masa yang sama mempunyai persediaan mengisi kemenangan dan melangsungkan perjuangan berikutnya, melalui agenda parti yang tersendiri bagi memperkasakan parti dengan sifat-sifat parti Islam, mengikut acuan kita yang sangat berbeza dengan kumpulan dan pertubuhan yang lain.


Walaupun mereka bersifat Islam, tetapi tidak sampai kepada penghujung yang memaksa berdepan dengan cabaran yang datang dari segenap penjuru. Tentangan dari masyarakat yang jahil dan bermusuh dengan kita, serta pihak yang memegang tampuk pemerintahan, kebiasaannya tidak memberi jalan percuma kepada Islam.

Keadaan ini menjadikan PAS mengalami fitnah dan mehnah perjuangan yang tidak dialami oleh rakan-rakan yang lain, tanpa menafikan bahawa semua kumpulan Islam dan pendokongnya, di mana sahaja mereka berada, adalah sahabat seperjuangan.


Parti Islam seperti PAS wajiblah memperkasakan setiap ahli di semua peringkat dan organisasi parti secara dalaman, bercirikan perintah Allah SWT yang telah disebutkan di atas. Dalam masa yang sama wajiblah mengatur langkah dan strategi perjuangan sebijak mungkin, khususnya bagi pendokong yang memerlukan kekuatan akidah, ilmu, akhlak dan kebijaksanaan.

Dalam merealisasikan kewajipan berpolitik dan bermasyarakat, hendaklah mempunyai kemampuan mengajak manusia kepada Islam dengan menjadi penganutnya dan mengajak bukan Islam menjadi penyokong yang menerima kita kerana keyakinan kepada islam yang adil untuk semua.


PAS mempunyai jentera di semua peringkat yang wajib menjadi rujukan ahli dan pendokongnya:

1. Majlis Syura Ulama yang memelihara istiqamah parti di atas akidah perjuangan dan syariat-Nya supaya Islam itu sahaja yang menjadi keperkasaan yang membawa kejayaan dan kemenangan.

"Kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tiada mengetahui." (maksud al-Munafiquun: ayat 8)

Khalifah Umar r.a. menegaskan: "Kita adalah ummat yang Allah kurniakan kemuliaan dengan Islam, maka apa cara sekalipun yang dipegang dan diamalkan lain daripada apa yang Allah kurniakan kepada kita, nescaya kehinaan yang menimpa kita."

2. Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja di semua peringkat yang menjadi jentera pentadbiran dangerakan parti, menjadi kepimpinan yang berwibawa, perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kematangan, seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Mereka yang pilihan di masa jahiliyyah menjadi pilihan juga apabila bersama dengan Islam sekiranya berilmu dan faham." (riwayat Imam Ahmad)

Khalifah Umar r.a. menegaskan: "Jadilah orang yang memahami (dan berilmu) sebelum kamu menjadi pemimpin." (riwayat Bukhari)

Fiqh itu merangkumi segala bidang Islam, termasuk juga fiqh politik.

3. Pembahagian mengikut lajnah yang dibahagikan secara bidang masing-masing dengan menyeluruh, menuju semua sasaran dalam masyarakat di semua peringkat dan pentadbiran mengikut susunan perhubungan negeri, kawasan dan cawangan di kebanyakan daerah di seluruh negara. Ia perlu dimantapkan dengan pengukuhan organisasi yang berperanan, wala' kepada parti dan perlu aktif menjadi jentera yang berdakwah dan berkepimpinan.

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan-Nya dalam satu saf laksana bangunan yang didirikan daripada batu-bata yang disusun rapi dan diikat dengan sekuat-kuatnya." (maksud as-Saff: ayat 4)



PENCAPAIAN

PAS menjadi parti yang paling berpengalaman dalam sejarah politik tanah air, berjuang sejak zaman penjajah, melahirkan pemimpin yang tidak pernah tunduk kepada penjajah. Oleh kerana mengambil kira kemerdekaan yang dicapai dengan ciri-ciri penjajahan yang masih mengikat negara dan rakyatnya atas prinsip dan konsep sekularisma yang menyeleweng daripada Islam, memaksa PAS mengharungi perjuangan yang paling banyak memberi pengalaman.

PAS juga berdepan dengan sistem demokrasi yang sangat tidak adil, tanpa memberi ruang langsung kepada pertukaran parti yang memerintah dengan pelbagai akta dan undang-undang, namun kita tetap memilih muwajahah salimiyyah dengan menyertai pilihan raya dan menentang penyelewengan dan penipuan dengan sabar dan cekal. Walaupun begitu terbukti kita boleh menang melalui pilihan raya yang sebegitu rupa.


PAS menjadi paling berpengalaman, menjadi pembangkang secara bersendirian di peringkat negeri dan Pusat, memerintah negeri secara bersendirian, menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai Barisan Nasional di semua peringkat dan kembali sendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk Angkatan Perpaduan Ummah dan pakatan dengan parti-parti yang lain.

Ahli-ahli boleh boleh menerima keputusan pilihan raya dengan sabar dan istiqamah walaupun memakan masa dan generasi. Maka kita hendaklah belajar daripada pengalaman itu, secara positif.


Sekarang PAS mengambil pendekatan Tahaluf Siyasi (persefahaman politik), melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syariah mengikut perlembagaan PAS.

Dengan kelulusan Majlis Syura Ulamak, pelaksanaan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat dan Jawatankuasa Politik yang disalurkan ke seluruh negara melalui jentera parti yang bergerak hidup di semua peringkat.



PAS telah mencapai satu kejayaan besar dalam pilihanraya yang lalu:

1. Di peringkatPparlimen dengan jumlah yang ketiga di kalangan Pakatan Rakyat (23 kerusi).

2. Mendapat tempat pertama di peringkat negeri dengan mengekalkan pemerintahan di Kelantan dengan keadaan yang paling selesa, memimpin kerajaan campuran di Kedah, sehingga kini dan Perak dalam masa hampir setahun.

3. Mendapat kerusi di semua negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak.

4. Jumlah terbesar di peringkat negeri (83 kerusi PAS, DAP 70, KeADILan 40) kerana PAS memilihpenumpuan menguasai negeri di peringkat ini, dengan bacaan politik yang tepat; belum lagi mempunyai tahap kemampuan menguasai Kerajaan Pusat.

5. Memenangi pilihan raya kecil di peringkat negeri dan Parlimen kecuali di Bagan Pinang.

6. Berjaya memecahkan tembok pemisahan dengan pengundi bukan Islam, apabila secara langsung ditubuhkan Kelab Penyokong PAS di samping mengadakan tahaluf dengan parti dan kumpulan bukanIslam.



Kesemua pencapaian ini hendaklah dimuhasabah semula kejayaan dan kelemahannya di semua peringkat sama ada kerajaan regeri termasuklah wakil rakyat negeri dan Parlimen, dan memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara yang lebih efektif, bagi meningkatkan lagi kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.



MEMPERKUKUHKAN PENYERTAAN DALAM PAKATAN RAKYAT

Hubungan yang kita bina bersama dengan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat adalah bertitik tolak dari asas persamaan yang semua pihak mempersetujuinya, iaitu memerangi ketidakadilan, penyelewangan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang sedang bermaharajalela dalam negara kita.

Semua ini berlaku tanpa kita mengorbankan dasar dan matlamat PAS yang sama-sama kita pegang iaitu PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah.

Alhamdulillah, strategi kerjasama dalam bentuk Tahaluf Siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dalam parti Barisan Nasional sebagaimana yang kita saksikan pada waktu ini.

Dalam membicarakan hubungan PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat ini, ingin saya pertegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa kita akan terus bersama dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki. Kita akan memainkan peranan yang lebih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dalam dua muktamar PAS yang lalu.



MENGHADAPI PILIHAN RAYA UMUM KE-13

Pas hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatan di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam. Dalam masa yang sama hendaklah mendapat undibukan Islam sebanyak yang mungkin kerana inilah realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk, dan inilah juga pendekatan politik Islam dengan syarat memelihara wala' kepada perjuangan Islam. Sila rujuk sirah penubuhan Negara Islam pertama di Madinatul Munawwarah.



KESIMPULAN

Melihat dan meneliti semua pencapaian tersebut, maka hendaklah dilakukan penerusan langkah parti mengikut pengamatan semasa yang kita putuskan dalam dua muktamar yang lalu, iaitu mengikut muhasabah kepimpinan secara kolektif dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

1. Berdiri di atas kekuatan yang sedia ada dengan mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dimuhasabah sepanjang masa.

2. Mengutamakan kedudukan PAS dalam menerajui perubahan dan islah dengan mengutamakan saf parti bersama kumpulan Islam.

3. Keterbukaan mengadakan hubungan dengan semua pihak, yang membawa kepada penyertaan yangmemberi kemenangan kepada Islam mengikut konsep dakwah dan siyasah Syariah.

No comments

Powered by Blogger.