Najib mahu semua kementerian proaktif guna ICT

PUTRAJAYA: Semua kementerian perlu mengambil tindakan proaktif untuk memaksimumkan penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam penyampaian perkhidmatan awam memandangkan ia dapat meningkatkan taraf hidup dan imej kerajaan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, perkhidmatan e-kerajaan seharusnya selangkah lebih maju dalam semua urusan kerajaan dengan menyediakan jenis perkhidmatan yang diperlukan rakyat, termasuk menggunakan sepenuhnya pelbagai kaedah multimedia yang ada.

"Hanya setelah rakyat menggunakan perkhidmatan ini dan mendapat manfaat daripadanya, barulah kita boleh menganggap penyampaian perkhidmatan awam telah berjaya," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC) di sini hari ini.

Ini kali pertama Najib mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak menjadi Perdana Menteri, April lalu.

Najib berkata satu lagi peranan penting MSC ialah di peringkat negara.

Pengumuman terbaru mengenai MSC Malaysia Pahang, katanya, adalah antara langkah untuk membawa inisiatif ICT ini kepada rakyat di seluruh pelosok negara ke arah mengurangkan jurang digital selain merangsang kegiatan ekonomi di kawasan luar bandar. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.