PAS Diambang Kejatuhan

Maafkan saya kerana sudah lama tidak menulis diruangan ini. Kesibukan kerjaya dan perniagaan menyebabkan banyak isu yang berlegar ditangga politik tanahair terpaksa saya biarkan berlalu tanpa ulasan. Namun hari ini saya terpaksa juga meluangkan sedikit masa untuk menulis dan memberikan komentar saya.

Bagi yang pernah membaca komentar dan artikel yang saya tulis sejak dari tahun 1997 dahulu (pada masa tersebut diletakkan di laman web http://members.tripod.com/~ketuaperusuh/), pastinya tahu bahawa saya amat konsisten dengan perjuangan rakyat marhaen. Pada pandangan saya, hak-hak rakyat marhaen sewajarnya tidak diambil mudah dan dikhianati oleh pemerintah.

Bertitik tolak dengan kepentingan rakyat maka saya memfokuskan agenda pengubahan minda masyarakat dengan membawa wadah PAS dan Keadilan dalam setiap artikel yang saya tuliskan dengan tidak melupakan perjuangan yang diterajui oleh DAP.

PAS pada era awal 1998 memang berpotensi menjadi satu parti yang kuat menjuarai hak rakyat marhaen terutamanya orang Melayu. Walaupun dalam banyak keadaan ada sedikit pergeseran dengan DAP namun PAS berjaya menaikkan imej dan taraf mereka. Pergeseran dengan DAP sejak dulu pada pandangan saya adalah disebabkan oleh beberapa watak-watak yang dikenalpasti sebenarnya adalah agen UMNO dan Barisan Nasional.

Walaupun begitu PAS pada waktu itu agak kuat dan persepsi rakyat kepadanya adalah amat baik. Dari sehari ke sehari terlalu banyak perubahan dan peningkatan yang telah dibuat oleh PAS lantaran kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sehinggalah pada sekarang ini berlegar di Pakatan Rakyat. Namun tidak dapat kita sangkal bahawa selama itu jugalah agen UMNO dan Barisan Nasional yang berada didalam PAS telah beranak pinak, membiak dan subur sehinggakan mendapat sokongan yang agak kuat yang membolehkan ramai dikalangan mereka ini memegang jawatan yang besar didalam PAS.

Sekarang ini, merekalah yang menentukan hala tuju PAS (ini amat menakutkan) dan merekalah juga yang sebenarnya tidak mahu untuk menerima kritikan untuk perubahan kerana jika perubahan berlaku maka merekalah yang pasti akan tersingkir dari PAS. Dari apa yang saya nampak, PAS sedang berada diambang kejatuhan yang maha besar yang pastinya tidak mampu untuk ditanggung oleh PAS keseluruhannya.

PAS tidak wajar bertindak dan beroperasi sama seperti UMNO namun dari persepsi rakyat marhaen sekarang ini, dilihat PAS adalah sama seperti UMNO. Para pimpinan PAS nampaknya telah ada yang berani melanggar perlembagaan parti malah telah juga belajar bagaimana untuk menipu (membohongi ahli parti dan rakyat marhaen). Isu bersekongkol dengan UMNO sewajarnya ditolak dengan muktamad namun masih ada pimpinan PAS yang nampaknya lebih suka bersekongkol dengan UMNO seperti yang ditunjukkan oleh Hassan Ali dan Nasharuddin Mat Isa.

PRU13 pastinya akan menjadi medan pertempuran yang akan menyebabkan kejatuhan kegemilangan PAS. Ini semua disebabkan oleh sikap pimpinan PAS yang tidak mahu berubah, yang sanggup bersekongkol dengan UMNO didalam gelap malah sanggup pula membelakangi kehendak rakyat marhaen. Jika PAS masih lagi tidak menunjukkan persepsi yang baik kepada rakyat marhaen terutamanya kepada kaum Cina dan India, maka pastinya PAS akan mengalami kekalahan yang maha besar.

PAS perlukan korban untuk memastikan ianya relevan pada setiap masa. Saya bersependapat dengan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang melihat PAS perlukan satu perubahan yang drastik. Jika PAS ingin berjaya, maka perlulah mereka melaksanakan slogan “PAS For All” dengan lebih realistik.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa – ISIS

No comments

Powered by Blogger.