PAS yakin menemukan titik pertemuan di seminar esok

Oleh Mohd Zuharman

Menjelang seminar memperkukuhkan parti, masih ada pihak yang terus membuat telahan kononnya hanya melalui Muktamar Khas (EGM) sahaja kemelut dalaman yang sedang melanda struktur organisasi parti PAS mampu diselesaikan.Telahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu itu wujud dari tangan-tangan ghaib yang berhasrat sengaja ingin melaga-laga ataupun merosakkan parti itu.


Perkara ini dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar, yang menegaskan persoalan EGM tidak perlu lagi berbangkit kerana ia telah diputuskan secara jama’i di peringkat pusat.

Pun begitu, beliau tidak menolak sekiranya EGM merupakan satu keperluan pada masa akan datang.

“PAS akan mengambil sebarang tindakan secara berhemah serta munasabah dalam menyelesaikan setiap isu berbangkit demi pengukuhan parti,” beritahunya kepada The Malaysian Insider sewaktu dihubungi.

Beliau diminta mengulas telahan penganalisa politik yang mendakwa krisis dalaman parti itu tidak mampu diselesaikan melalui penganjuran seminar sebaliknya cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk mengadakan EGM adalah wajar dipertimbangkan.

Penganalisa politik berkenaan turut mendakwa PAS kini berpecah kepada dua kelompok iaitu kelompok ulama konservatif dan golongan ulama professional yang lebih liberal.
Sebelum ini Nik Aziz mencadangkan agar satu EGM diadakan bagi menyelesai kemelut melanda parti yang melibatkan dua tiga kerat pemimpin parti itu disifatkan Nik Aziz sebagai bermasalah.

Bagaimanapun Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat parti yang diadakan pada 28 Oktober lalu yang turut dihadiri Nik Aziz sendiri memutuskan untuk tidak mengadakan EGM, sebaliknya satu seminar pengukuhan parti akan diadakan.

Dalam perkembangan tersebut Nik Aziz sendiri juga berpuas hati dengan keputusan itu. Lalu seminar tersebuat dijadual akan diadakan pada 7 November ini, iaitu esok.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata masalah dalaman yang berlaku kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR) adalah perkara biasa boleh dianggap sebagai satu lumrah dalam mana-mana parti. Apa yang penting ialah kaedah bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut tanpa menjejaskan imej serta maruah parti.

“Itu yang penting dalam mencari titik pertemuan di akhirnya,” ujar Kamaruddin yang sentiasa berharap seminar yang bakal berlangsung esok akan menemukan titik pertemuan dimaksudkan.

Dengan itu, tomahan PAS kononnya sedang berada di ambang perpecahan oleh sesetengah pihak sekaligus meleset, dan tertutup.

No comments

Powered by Blogger.