Pengarah JAIS disaran menghadap Sultan perjelas isu Dr Asri

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini tiada sebarang keputusan dicapai dalam kes penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Tan Sri Khalid berkata pihak kerajaan negeri telah mendengar penjelasan JAIS dan menyarankan Pengarah, Datuk Mohamed Khusrin Munawi menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, ini kerana pentadbiran JAIS terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Sultan, selaku ketua agama Islam Selangor.

Tambahnya, Pengarah JAIS dijangka mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat untuk membincangkan kes tersebut secara terperinci sebelum apa-apa keputusan dibuat Tuanku.

“Penguasaan pentadbiran agama Islam ini di bawah Tuanku Sultan, kita telah meminta pihak JAIS untuk berjumpa dengan Tuanku Sultan supaya membincangkan perkara-perkara yang telah kita bangkitkan dan mendapat persetujuan supaya beberapa perkara dapat kita laksanakan”, katanya.

Beliau bercakap demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Selangor di Shah Alam hari ini.

Datuk Khusrin Munawi yang dipanggil dalam mesyuarat Exco Selangor hari ini adalah untuk membantu siasatan berhubung penahanan bekas Mufti Perlis itu pada Ahad lepas.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan JAIS dalam sebarang operasi penguatkuasaan agama Islam di Selangor .

“Kita campur tangan walaupun JAIS ialah satu daripada jabatan bawah Kerajaan Negeri, tapi ia dari segi operasi, tapi dari segi kuasa untuk menguasai pentadbiran dan polisi-polisi mengenai agama Islam adalah di bawah naungan Tuanku Sultan”, tegasnya.

Mengikut Enakmen Islam Selangor, seseorang itu perlu mendapat tauliah daripada pihak JAIS terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk menyampaikan sebarang ceramah di Selangor. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Sumber:tvselangor

No comments

Powered by Blogger.