Realistikkah Bajet 2010?

Oleh : Mohd Khairul Bin Abdullah Halim*

Bajet tahun 2010 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” telah dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri telah dibentangkan baru-baru ini.

Semasa pembentangan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa bajet pada kali ini memberi fokus kepada mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) supaya ianya selaras dengan kewujudan gagasan 1 Malaysia.

Secara dasarnya, bajet tersebut dilihat memberi penekanan kepada aspek kebajikan seluruh masyarakat Malaysia. Golongan pelajar atau mahasiswa menjadi salah satu aspek yang mendapat perhatian dalam bajet kali ini terutama yang berasal dari keluarga bertaraf rendah dan pelajar-pelajar cemerlang.

Antaranya, peruntukan tambahan rm20 juta untuk memberi pengiktirafan sekolah berprestasi tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010, menganugerahkan biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya dan penyandang biasiswa nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia, menukar pinjaman ptptn kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010, diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Januari 2010, pakej “netbook” termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran rm50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2010 dan peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang.

Golongan pelajar yang dihantar ke universiti terunggul di dunia dilihat merupakan aset yang diperlukan negara. Peluang menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh, sangat berguna untuk diaplikasikan bagi tujuan pembangunan dan permodenan negara bagi jangka masa panjang.

Namun, bajet yang dibentangkan ini dilihat masih tidak mampu untuk mengatasi masalah pengangguran graduan Malaysia yang semakin meruncing. Tiada perancangan khusus yang disusun dalam bajet 2010 bagi mengatasi masalah ini. Mengikut maklumat dan data dari Jabatan Statistik Negara didapati jumlah siswazah yang menganggur di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah sekitar 80,000 orang yang mana mewakili 13 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menganggur. Jumlah ini mengalami peningkatan berbanding pada tahun 2006 sehingga 2007, dimana jumlah siswazah menganggur adalah sekitar 60,000 orang.

Seharusnya, isu graduan menganggur ini dititikberatkan dan menjadi salah satu daripada cabangan NKRA yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri agar matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai dengan lebih berkesan. Strategi khusus patut dibentuk untuk menjamin kualiti graduan adalah relevan dengan kehendak semasa. Hakikatnya, permasalahan siswazah menganggur ini sentiasa menjadi cabaran kepada kerajaan walaupun pelbagai program insentif telah dilakukan bagi membolehkan golongan itu mendapat tempat dalam industri. Ini kerana, bajet yang diperuntukkan dalam merealisasikan agenda ini hanyalah sekadar menaik taraf, membiayai pengurusan, menyelenggara, mengiktiraf sijil kemahiran dan membina institusi-institusi teknikal semata-mata dan ini dikatakan antara punca mengapa permasalahan ini masih berterusan.

Selain itu, kerajaan seharusnya meletakkan bajet yang lebih untuk melatih dan menggilap graduan supaya menepati keperluan pasaran seta mampu membantu negara dalam meningkatkan taraf ekonomi negara. Ini kerana, menurut YAB Perdana Menteri 43.5 peratus pendapatan Negara adalah daripada sumber minyak mentah yang mana ia menunjukkan bahawa ekonomi negara ini masih lagi dikategori ekonomi tua atau “Old Economy” yang berteraskan kepada sumber asli. Pendapatan lain juga turut bergantung kepada minyak sawit, getah, galian, kayu-kayan yang kesemua sifatnya tak boleh diperbaharui.

Sudah sampai masanya bahawa negara benar-benarnya beredar dari pergantungan kepada “petroleum-based soucres” dan “commodity-based sources” kepada teras yang lain yang menjadikan ekonomi kita tergolong dalam “The New Economy” yang berteraskan kegiatan ekonomi yang sarat dengan “Knowledge” atau pengetahuan yang dahulunya pernah diuar-uarkan oleh para pemimpin Negara sebagai menjana “knowledge workers”.

Seharusnya perkara ini menjadi keutamaan dan bukan retorik semata-mata kerana ia amat penting bagi meningkatkan semula kepercayaan pelabur kepada negara disamping mewujudkan lebih banyak hubungan dagangan dengan negara luar. Justeru, latihan yang sewajarnya kepada para siswazah adalah penting untuk merealisasikan impian ini.

Dalam Bajet ini juga YAB Perdana Menteri mengulang sebut tentang, membawa ekonomi negara ini dari “Low-Income Economy” kepada “High-Income Economy”. Jika negara kita terus duduk di paras “Low-Income Economy” ini, kuasa membeli dan permintaan domestik kita tetap tidak berupaya. Pendapatan per kapita negara ini hanya RM15,819 setahun berbanding negara seperti Singapura atau Korea Selatan atau Taiwan yang 3 atau 4 kali ganda lebih tinggi.

Bajet kali ini hanya sekadar menyebutkan bahawa kita perlu menjadi ekonomi yang punya pendapatan tinggi, tetapi tidak jelas cara, kaedah dan pendekatan untuk menuju ke matlamat tersebut. Tambahan pula dengan kebanjiran pekerja asing yang tidak punya ketrampilan, maka negara akan kekal dengan kegiataan nilai-tambah yang rendah dalam sektor pertanian dan pembinaan.

High-Income Economy bermula dengan memperkasa pembinaan modal insan terutamanya golongan mahasiswa yang bebas dan kreatif dalam berfikir serta digalakkan dengan iklim kebebasan yang mampu mengakses maklumat dan hak berkarya. Ini berlawanan sifat dengan sebuah kerajaan yang takut memperkasa rakyatnya dengan maklumat dan kebebasan dengan pelbagai akta yang mencekik rakyatnya termasuk ahli akademik dan bijak pandai.

Justeru, Bajet 2010 seharusnya menekankan perlaksanaan satu pelan yang kritikal dari sudut menggilap tenaga kerja yang kreatif dan inovatif serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh penganggur profesional ini dan bukan sahaja menjanjikan tawaran-tawaran bersifat ”gula-gula” kepada golongan cerdik pandai ini. Antara ruang yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan, adalah seperti yang dijelaskan oleh pemerhati sosial Mohd. Na’eim Ajis iaitu galakan di peringkat awal supaya siswazah mengubah mentaliti daripada makan gaji kepada perniagaan.

Kerajaan juga seharusnya, menggalakkan para siswazah memiliki pemikiran yang kreatif dan inovatif dengan mewujudkan lebih banyak ruang kepada mahasiswa melibatkan diri dengan seluruh aspek kehidupan tanpa dihalang oleh akta-akta tertentu yang boleh merencatkan perkembangan mahasiswa yang cemerlang dalam semua perkara dan tidak hanya tertumpu pada bidang pengajian mereka sahaja.

* Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM sesi 09/10

No comments

Powered by Blogger.