Saham: Azmin fail saman terhadap Vigneswaran

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, berkata beliau sudah memfailkan saman terhadap bekas Ketua Pemuda MIC, S Vigneswaran, yang mengaitkan beliau dan isteri dengan pembelian saham bernilai hampir RM9 juta.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, tindakan mahkamah itu diambil kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Vigneswaran yang mengaitkan beliau, isterinya, Shamshida Tahrin dan iparnya, Jamal Tahrin, dengan pembelian saham mencecah RM8.5 juta pada sekitar 1990-an.

Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mendedahkan mahkamah mana beliau memfailkan saman itu.

Beliau berkata, dakwaan Vigneswaran itu telah menjatuhkan reputasi dan mengaibkan diri serta keluarganya.

"Peguam saya telah memberi arahan supaya menyegerakan prosiding undang-undang terhadap orang yang membuat fitnah serta pihak yang melaporkannya (dakwaan) dan prosiding itu akan dibuat hari ini,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

No comments

Powered by Blogger.