Saya Sokong Asri

[asri-marinaspot.jpg]

Menurut khabar, Asri bakal dilantik sebagai YDP YADIM menggantikan Nakhaei Ahmad dalam tempoh terdekat walau pun tarikh tamat kontrak Nakhaei adalah pada tahun 2012. Najib memang mahukan Asri berada di tempat itu. Alasan yang nampak adalah mungkin kerana Nakhaei sudah berusia.

Ada ramai rakan Nakhaei yang seusia dengannya seperti Yusof Noor, Abdul Hamid Othman, mereka masih berkhidmat dengan pelbagai sektor kerajaan tetapi mereka tidak diusik. Mengapa Nakhaei dan YADIM yang diusik oleh Najib?

YADIM adalah institusi agama yang dikira berpengaruh. Institusi sebegitu tidak sepatutnya dikesampingkan. Sebagai orang politik, Najib nampak bahawa mana-mana institusi yang dilihat mampu menggilap imej agamanya perlu dimanfaatkan (baca diperalatkan pun boleh juga).

Orang yang bakal mengetuai YADIM pula hendaklah seorang agamawan yang progresif. Najib tahu Asri ada ciri-ciri itu. Keprogresifannya semasa menjadi Mufti Perlis dan ketrampilannya dalam menyuarakan beberapa isu kontroversi suatu ketika dulu boleh menjadi kayu ukur.

Tetapi persoalannya, mengapa Asri yang dipilih? Tidak ada agamawan seprogresif Asri di negara ini?

Ramai lagi agamawan yang berciri sebegitu seperti Mahmud Zuhdi, bekas profesor pengajian Islam UM, misalnya. Dari segi kewibawaan pencapaian akademik, Mahmud mengatasi Asri, demikian juga pengalaman pentadbiran peringkat tinggi. Ada lagi yang lain, malah ramai, mengapa Asri juga?

Justeru, apabila membaca senarai NGO yang menyokong kenyataan media Persatuan Peguam Syarei Malaysia dalam isu ini (baca sini), seperti MUAFAKAT, TERAS, PUM, Persatuan Ulamak Kedah dan lain-lainnya, saya terdorong bertanggapan selainnya. Bukan faktor usia Nakhaei, bukan faktor ketiadaan tokoh lain, bukan faktor kewibawaan akademik Asri, tapi ada faktor lain.

Dorongan supaya bertanggapan ada faktor lain itu menjadi lebih kuat apabila terpandang foto Asri ‘ditanya khabar’ oleh Marina Mahathir. Bukan senang orang seperti Marina akan turun padang sebegitu untuk menemui tokoh agamawan selain Asri. Dan, orang kenal Marina itu mewakili ‘kumpulan’ yang mana satu.

‘Kumpulan’ yang diwakili Marina dimaklumi suatu ketika dulu berasa selesa dengan sikap Asri dalam isu tertentu.

Dan, NGO yang bersama dengan Persatuan Peguam Muslim pula dilihat begitu kuat menyanggah ‘kumpulan’ yang diwakili Marina itu, terutama TERAS, misalnya.

Oleh itu, saya bertanggapan bahawa ‘kumpulan’ yang diwakili Marina itu berusaha melalui Najib untuk meletakkan Asri dikerusi sebuah institusi yang berpengaruh dengan tujuan tertentu. Mudah saja bagi Marina dengan semua kerja itu kerana hubungan bapanya dengan Najib dikira bagus pada masa ini.

Najib pula tentu akan mengambil kira kemahuan ‘kumpulan’ itu demi survival politiknya. ‘Kumpulan’ itu walau pun kecil pendokongnya tetapi ada pengaruh tersendiri. Sebagai orang politik, pengaruh adalah penting.

Pasa masa yang sama, media menyiarkan bagaimana Najib mempertahankan Asri. Di sini nampak keserasian antara tindakan Marina dan kenyataan Najib.

Persatuan Peguam Syarei pula dalam kenyataan media mereka tidak bersetuju dan tidak berpuashati kerana Asri, sepanjang menjadi Mufti Perlis dengan bidang kuasa yang tidak seberapa, banyak menimbulkan polemik yang merugikan orang Islam, khususnya pihak berkuasa agama di negara ini. Dalam isu ini juga, ‘kumpulan’ yang diwakili Marina selesa dengan pendirian Asri.

Pada masa yang sama, polemik itu dilihat oleh NGO yang bersama dengan Persatuan Peguam Syarei pula memberi kredit kepada ‘kumpulan’ yang diwakili Marina itu.

Justeru bagi saya, apabila Asri menyatakan dia tidak bersedia untuk menduduki kerusi YDP YADIM, dia telah mengambil tindakan yang betul. Tindakan itu menyelamatkannya daripada dilihat sebagai menjadi ‘alat’ atau ‘proksi’ kepada ‘kumpulan’ yang diwakili Marina.

Bagi saya juga, bantahan NGO Islam itu berjaya menyelamatkan Asri daripada tanggapan tadi, iaitu tanggapan diperalatkan ‘kumpulan’ Marina.

Saya menyokong. Bukan menyokong Asri ditangkap tetapi menyokong tindakan NGO-NGO Islam tersebut, menyokong Asri tidak menerima jawatan YDP YADIM dan menyokong beliau tidak dilantik ke jawatan itu.

Demikianlan adanya.

http://bongkarsauh.blogspot.com/2009/11/saya-sokong-asri.html

No comments

Powered by Blogger.