Saya tidak terganggu dengan tuduhan: Koh

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, menyifatkan dakwaan yang beliau hanya menghadiri sesi Dewan Rakyat apabila Datuk Seri Najib Razak ada sebagai satu tuduhan tidak berasas.

Katanya, beliau tidak akan terganggu dengan tuduhan sedemikian malahan berdasarkan rekod, beliau menghadiri persidangan Parlimen setiap hari sejak Jun lalu.

"Rekod kehadiran saya hampir sempurna kecuali satu hari, saya tidak hadir. Oleh itu, tuduhan sedemikian adalah tidak benar.

"Malah, Perdana Menteri mengesahkan bukan saja saya seorang tetapi juga semua menteri. Saya fikir itu penting," katanya selepas merasmikan Persidangan Sumber Perisian Terbuka Kerajaan Malaysia 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Khamis lalu, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) membidas Koh yang didakwanya cuma hadir di Parlimen ketika Najib ada.

Koh berkata, apa yang lebih penting ialah beliau perlu memberi fokus kepada melaksanakan transformasi dan memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan untuk rakyat dan beliau tidak mahu membuang masa terbabit dalam debat, pertengkaran atau perang mulut yang tidak memberi sebarang hasil.

Mengulas tuduhan kononnya beliau tidak sesuai menjawat jawatan Presiden Gerakan, beliau berkata, itu pandangan orang lain dan mereka berhak dengan pandangan masing-masing.

Koh berkata, beliau tidak hanya dinilai oleh Perdana Menteri atau jemaah Menteri hanya disebabkan perkara-perkara yang kecil, tetapi bekerja sebagai satu pasukan yang boleh menyumbang kepada rakyat dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Katanya, sudah tentu ada sesetengah orang yang tidak bersetuju dan mereka berhak dengan pandangan mereka.

"Apa juga yang telah berlaku pada pilihan raya yang lalu, ya kami kalah, itu lumrah berpolitik, kami kalah. Malah Lim Kit Siang dan Karpal Singh pun pernah kalah banyak kali.

"Itu sebahagian daripada kehidupan. Kami telah melakukan yang terbaik, ada kalanya rakyat hargai, ada kalanya rakyat fikir cukuplah dengan mereka ini. Kami hormati penilaian oleh rakyat," katanya.

Mengenai mesyuarat bagi mencapai sasaran Bajet 2010 yang akan berlangsung esok, Koh berkata, Perdana Menteri akan berbincang dengan kesemua pasukan khas penyampaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Ia lebih kepada menetapkan sasaran Bajet 2010. Ia berkaitan dengan KPI dan NKRA kerana keseluruhan bajet banyak memberi tumpuan kepada NKRA.

"Namun, inisiatif NKRA melangkaui Bajet 2010 kerana ia adalah satu proses yang panjang," katanya.

Esok, semua ketua jabatan akan menghadiri mesyuarat kabinet khas yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk memastikan pelan pembangunan yang ditetapkan dalam Bajet 2010 dilaksanakan dengan baik.

Najib yang mengumumkan perkara itu dua hari lalu berkata, beliau yang memperkenalkan buat kali pertama sesi sedemikian bagi memastikan tidak ada sebarang masalah dihadapi oleh negara. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.