Selangor Tuan Rumah Persidangan Antarabangsa Sains IAS 2009

SHAH ALAM, 20 November - Selangor julung kalinya tahun ini akan menjadi tuan rumah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains IAS 2009 kali ke-17 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 14 hingga 17 Disember depan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, acara berprestij ini adalah sebagai peluang kepada peserta untuk membina hubungan baik dengan Negara luar yang berpengalaman luas dalam bidang Sains sekaligus menimba pengalaman.

“Ini memberikan satu peluang kepada mereka untuk membina jaringan, networking dan juga memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman daripada saintis-saintis yang berpengalaman dan berkecimpung dalam bidang sains masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TvSelangor selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Kebangsaan Penganjur di bangunan SUK, Shah Alam, hari ini.

Menurut Halimah, program ini juga akan mengketengahkan peranan wanita dalam sains untuk membuka mata dunia luar bahawa wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan menerusi ilmu sains.

Acara bertaraf antarabangsa ini adalah anjuran bersama World Academy Of Science (IAS), International Islamic Academy For Life Sciences and Biotechnology (IIALSB) dan Universiti Industri Selangor (Unisel).

Tambah Dr Halimah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan turut serta mempengerusikan sesi khas untuk berkongsi pengalaman menghubungkaitkan ilmu sains dengan perniagaan dan memperlihatkan sains sebagai salah satu jaringan untuk pengembangan pembangunan.

“Kita mengharapkan dengan program ini nanti memang temanay tadi untuk membudayakan masyarakat umat islam benar-benar akan dibawa kepada Negara masing-masing kerana kita melibatkan pelbagai Negara OIC,” katanya.

Bertemakan “Towards Knowledge Society In The Islamic World”, konferen ini akan diadakan di Hotel Concorde Shah Alam dengan kehadiran Negara-negara OIC antaranya Pakistan, Arab Saudi, Turki, Indonesia, dan juga jemputan dari Negara barat seperti Amerika Syarikat dan Perancis.-ATIQAH YAACOB

No comments

Powered by Blogger.