S/U politik Ong letak jawatan mengejut

Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat menerima tamparan terbaru apabila setiausaha politiknya, Simon Lim meletakkan jawatan secara mengejut.

Ketika dihubungi hari ini, Lim berkata, beliau meletak jawatan - yang berkuatkuasa 1 Disember ini - atas alasan "komitmen peribadi" dan telah menghantar surat itu semalam.

Lim, 49, tidak menyatakan rancangannya selepas itu, tetapi tidak menolak kemungkinan kembali semula ke bidang guaman.

Bila ditanya, Lim berkata hubungan kerjanya dengan Ong adalah 'baik' dan menafikan khabar angin bahawa dia meletak jawatan kerana tidak sehaluan lagi dengan presiden MCA itu.

Lim kuat mempertahankan Ong melalui kenyataan -kenyataannya selepas pengumuman laporan audit projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau juga lantang mempertahankan Ong terhadap tuduhan bahawa presiden MCA itu telah menggunakan pesawat peribadi milik ahli parlimen Bintulu dan jutawan Datuk Seri Tiong King Sing secara percuma.

Bagaimanapun, kredibiliti Ong tergugat apabila mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu, meluluskan usul tidak percaya terhadapnya.

Walaupun Ong berjanji untuk meletak jawatan sekiranya dia kalah dengan 'satu undi' sekalipun, tetapi beliau tidak berbuat demikian, menyebabkan terdapat ahli parti mendakwa Ong tidak boleh diperacayai.

Ong terjebak dalam satu kontroversi minggu ini apabila beliau menggugurkan sembilan pemimpin yang tidak sehaluan dengannya dari majlis presiden.

Tindakannya itu didakwa oleh penentangnya, sebagai satu usaha untuk mewujudkan 'pak turut' dalam majlis tersebut

No comments

Powered by Blogger.