Sultan Kedah titah pembayar cukai laksana tanggungjawab

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, bertitah seluruh rakyat di negeri ini perlu menunaikan tanggungjawab menjelaskan cukai kepada kerajaan kerana pendapatan itu akan digunakan sebagai sumber untuk membangunkan negeri.

Baginda bertitah, sudah tiba masanya kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang terhadap golongan yang tidak bertanggungjawab dan sengaja enggan membayar cukai.

"Beta sedar Kedah mempunyai sumber hasil terhad. Namun, melalui pengurusan rapi, kerajaan akan dapat mengutip hasil yang optimum.

"Oleh itu, beta menyarankan jabatan yang terbabit dengan kutipan hasil negeri menambah kakitangan, peralatan dan sistem pengurusan supaya dapat menjalankan tugas dengan berkesan serta meningkatkan kutipan hasil negeri," titah baginda merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hadir sama, Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun.

Baginda bertitah, kerajaan negeri akan terus menyediakan pelbagai peluang menambah pendapatan untuk faedah seluruh rakyat dan setiap individu perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengambil bahagian dalam pembangunan yang dilaksanakan.

"Ini tidak bermakna kerajaan beta tidak akan memberi bantuan kepada golongan memerlukan. Terdapat pelbagai jenis bantuan yang diberikan kepada golongan keluarga miskin, kurang upaya dan warga emas.

"Malah, tahun lalu, Jabatan Zakat Negeri turut memberi bantuan berjumlah RM1.3 juta kepada 1,382 asnaf yang memerlukan bantuan," titah baginda.

Sementara itu, baginda bertitah, kerajaan negeri melaksanakan usaha strategik memperkukuhkan perkhidmatan bekalan air menerusi pengkorporatan Jabatan Bekalan Air Kedah mulai 1 Januari 2010.

"Beta yakin perkhidmatan bekalan air akan lebih baik melalui pengkorporatan yang akan dilaksanakan pada Januari ini. Sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang dikenali Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah ditubuhkan untuk menjadi pengendali perkhidmatan air.

"Beta berharap pengkorporatan ini berjaya meningkatkan tahap liputan dan kualaiti air bersih kepada rakyat di seluruh negeri," titah baginda.

Baginda bertitah, oleh kerana sumber air mentah berpotensi untuk memberi pendapatan, kerajaan negeri juga akan menubuhkan satu jabatan yang akan bertanggungjawab menguruskan sumber air dari aspek kawal selia dan penjualan.

No comments

Powered by Blogger.