Tanah Runtuh Rawang: Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan

RAWANG, 3 Nov - Kejadian cerun runtuh yang berlaku seawal jam 2.45 pagi tadi menyebabkan KM 12, Lebuhraya Rawang-Selayang di Bukit Kanching ditutup kepada lalulintas.

Cerun berkeluasan 200 hingga 250 meter runtuh lalu menutupi sebahagian laluan arah dari Ibu Negara ke Rawang.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba Selayang, Yamin Tekor, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 2.55 pagi memaklumkan kejadian tersebut.

Ekoran daripada itu, Unit Pengesan (K9) dari Jabatan Bomba dikerah ke tempat kejadian untuk membantu mengesan mana-mana mangsa yang terlibat.

Sehingga kini katanya, tiada kemalangan jiwa dikesan setelah rondaan mengesan mangsa dijalankan setakat jam 5.00 pagi tadi.

“Operasi kita jalankan dan kita telah memanggil Unit Pengesan daripada Jabatan Bomba untuk mengesan jika ada terdapat mangsa-mangsa di dalam runtuhan tersebut, apabila telah dibuat pencarian pukul 5.00 pagi tadi didapati tidak ada mangsa dalam tu”, katanya.

Kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan untuk membolehkan orang ramai kembali menggunakan laluan tersebut secepat mungkin.

Laluan ini dijangka beroperasi seperti biasa pada pukul 7 pagi pada hari Rabu sekiranya tidak berlaku kejadian susulan.

Bagi Pegawai Ambulans, IPK Bulan Sabit Merah, Muniardy Krishnan, pihaknya sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sementara ni tidak ada apa-apa, kemungkinan selepas buat kerja-kerja jalan raya mungkin atau tidak belum tahu lagi, sebab apa masih ada dia orang gali tempat-tempat jalan raya, kemungkinan ada kereta, motor mungkin tersangkut dalam itu”, jelasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.