Tiket Perlawanan Akhir Piala Malaysia Habis Dijual

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini telah pun habis dijual.

Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata sebanyak 85,000 tiket dijual termasuk 10,000 tiket yang dijual dalam masa sejam sahaja di Stadium Nasional yang habis pagi Jumaat.

"Kita sebelum ini telah memberikan sebanyak 75,000 tiket kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) seperti yang ditempah untuk dijual di negeri masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 2,000 penyokong kedua-dua pasukan gagal mendapatkan tiket untuk perlawanan itu.

"Kita akan cuba berbincang dengan penaja untuk mendapatkan tayangan skrin gergasi di luar stadium," kata Azzuddin.

Perlawanan akhir edisi ke-84 piala yang paling berpestij di dalam saingan Liga Malaysia itu akan berlangsung pada pukul 8.45 malam.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.