Wajah penyokong Kelantan bakar kerusi dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenalpasti penyokong bola sepak Kelantan yang menimbulkan kekecohan dengan bertindak liar ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman, berkata individu yang dikenal pasti terbabit dalam insiden itu akan diambil tindakan lanjut selepas butiran identiti kesemua mereka diperoleh.

"Kami sedang meneliti dan menyiasat wajah individu yang didapati bertindak ganas pada malam itu melalui rakaman video serta gambar yang diperoleh.

"Wajah mereka sudah dicam dan kami sedang mengumpul butiran identiti kesemua mereka yang dipercayai terlibat itu," katanya ketika menghadiri program “Jom Memasak bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan Adabi” di Balai Polis Alam Damai di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu senarai nama akan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan selepas siasatan selesai bagi menjejaki individu yang dikenal pasti terbabit.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah individu yang sudah dikenal pasti, tetapi sekadar menyatakan bilangannya “ramai”.

Perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83 itu dicemari insiden membakar tempat duduk stadium dan kain rentang selain membaling mercun dan botol air selepas Kelantan kalah kepada Negeri Sembilan 3-1. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.