Bekas jurulatih berbasikal kebangsaan, Alwi Ahmad selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih berbasikal kebangsaan, Alwi Ahmad, 76, yang meninggal dunia semalam selamat dikebumikan tengah hari ini di tanah perkuburan Taman Datuk Keramat di sini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.15 petang di rumahnya di Taman Datuk Keramat selepas dua tahun terlantar sakit kerana menghidap penyakit angin ahmar dan komplikasi paru-paru.

Allahyarham yang juga antara atlet berbasikal yang disegani sekitar 50-an meninggalkan seorang balu, Norly Noramin dan empat orang anak lelaki iaitu Rosman, Asari, Zaini dan Ishak.

Anak Allahyarham, Rosman yang juga bekas pelumba berbasikal negara, berkata pemergian bapanya adalah satu kehilangan yang besar kepada keluarganya dan negara.

"Ketika masih aktif, Allahyarham pernah mewakili negara di Sukan Seap (kini Sukan Sea) sekitar tahun 70-an selain banyak memenangi kejohanan-kejohanan tempatan yang disertainya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Datuk Keramat, hari ini.

Rosman berkata, bapanya adalah jurulatih yang tegas dan seorang yang amat menepati masa terutamanya apabila diadakan sesi latihan.

"Kami sekeluarga pernah digelar “anak beranak gila” kerana setiap hujung minggu kami tetap akan turun berlatih biarpun Allahyarham tidak lagi menjadi jurulatih kebangsaan.

"Namun Allahyarham tidak pernah mengendahkannya sebaliknya pernah berpesan kepada saya supaya “membayarnya” melalui kejayaan di masa depan," katanya.

Rosman berkata, selain dirinya, Allahyarham pernah melatih dan mendidik ramai pelumba-pelumba basikal negara seperti Daud Ibrahim, Fazlin Saad, Ali Hassan, Nor Effandy Rosli dan Haris Fazilah Osman.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad, berkata kegigihan Allahyarham melatih pelumba-pelumba muda patut dijadikan contoh oleh generasi sekarang.

"Bukan saja Allahyarham menghabiskan masa lapang dan hujung minggu dengan berlatih tetapi membuat kerja ini secara sukarela dengan mengeluarkan duit poket sendiri untuk perbelanjaan makan minum dan sebagainya," katanya.

Mazlan berkata, beliau dan Allahyarham adalah antara lima orang yang mencetuskan idea untuk menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur.

Penaung Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb), Datin Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Turut hadir menziarahi jenazah adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Aziz serta bekas Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar. - Bernama


Terima Kasih kerana sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.