Cadang persembah memo royalti kepada Agong

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 1 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, mencadangkan memorandum tuntutan royalti dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi menzahirkan rakyat negeri ini tidak akan menyerah kalah terhadap perkara itu.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, dalam kenyataan medianya memberitahu, memorandum berkenaan dipersembahkan kepada baginda Yang di-Pertuan Agong selepas majlis ceramah besar-besaran diadakan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) sekali lagi perlu memainkan peranan untuk menganjurkan majlis berkenaan secara besar-besaran di peringkat pusat.

“Pada majlis ini amat wajar dijemput Tengku Razaleigh Hamzah bersama pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat untuk sama-sama hadir pada majlis itu,”ujarnya lagi.

Katanya, Pemuda PAS negeri juga mencabar Pemuda Umno Kelantan supaya mengambil tindakan terhadap bekas Pengerusi Petronas itu, sekiranya dakwaan Anggota Parlimen Gua Musang itu tidak benar.

Katanya, sekiranya fakta-fakta yang didedahkan Ku Li tidak benar, mereka hendaklah mengemukakan faktar sebenar berhubung perkara itu.

“Dengan cara itu Pemuda Umno Kelantan dapat membuktikan yang mereka tidak hanya bercakap kosong dan membuat kecaman dalam media kononnya rakyat negeri ini telah diperbodohkan oleh Ku Li,” ujarnya lagi.

Dewan Pemuda PAS Kelantan juga, kata beliau turut berharap Ku Li keluar daripada Umno dan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat yang cukup membuktikan dasarnya untuk memperjuangkan kebajikan.

Tambahnya, ini berbanding dengan perjuangan Umno yang hanya mengambil berat tentang periuk nasi sendiri dan bukannya menjaga kebajikan rakyat.

No comments

Powered by Blogger.