Teng: Laporan Siasatan Selcat Siap April Ini

SHAH ALAM, 1 Feb - Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat tidak memilih bulu dalam menyiasat penggunaan peruntukan Adun-Adun Selangor.

Pengerusi Teng Chang Khim berkata setiap Dun perlu menjelaskan secara terperinci bagaimana, ke mana dan untuk apa setiap sen wang pembayar cukai dibelanjakan.

Dokumen Selcat bakal didokumentasikan dalam satu laporan khas. Laporan siasatan penggunaan peruntukan Adun Selangor 2008 dan 2009 dijangka dibentangkan sebelum Sidang Dewan Negeri pada April hadapan.

“Selepas ini Jawatankuasa Selcat akan meneliti nota keterangan selama ini iaitu nota keterangan bagi 12 saksi yang dipanggil iaitu 9 orang Pegawai Daerah dan juga 3 orang Adun yang telah pun memberikan keterangan, setelah meneliti semua keterangan maka kami akan menyediakan penyata untuk dibentangkan dan kami berharap kerja ini dapat disiapkan sebelum bulan April, kerana bulan April adalah Sidang Dewan Negeri yang pertama bagi tahun 2010, sekiranya kami tidak dapat menyiapkannya bulan April maka kami akan bentangkan pada Julai kerana melibatkan banyak fakta, angka dan sebagainya”, kata Teng mengulas Pendengaran Selcat yang berakhir hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Sri Muda Shuhaimi Shafie dipanggil ke sidang Selcat untuk memperjelaskan penggunaan peruntukan di Dun masing-masing.

Teng berkata penggunaan peruntukan Dun yang dibentangkan oleh Nik Nazmi dan Shuhaimi adalah cemerlang, dan berkata kedua-dua wakil rakyat ini patuh kepada pekeliling yang disediakan dan lebih berhemah menguruskan akaun.

Nik Nazmi sudah membelanjakan 88 peratus daripada peruntukannya manakala Shuhaimi pula 72 peratus dalam masa 6 bulan.

Shuhaimi dipuji kerana memanfaatkan sepenuhnya kuota 30 peratus peruntukannya untuk projek-projek kecil.

“Saya nak ucap tahniah kepada YB kerana mengikut peninjauan daripada laporan pejabat daerah kami dapati bahawa daripada projek-projek dan program-program yang dijalankan YB dalam tempoh 6 bulan tersebut ada 6 projek kecil yang jumlah perbelanjaannya RM102,140.00 iaitu kira-kira 27 peratus bererti YB dekat dengan garis panduan di mana dikehendaki 30 peratus diperuntukkan projek, itu saya ucapkan tahniah”, jelas Teng kepada Shuhaimi.

Manakala Nazmi pula terpaksa menggunakan sebahagian besar peruntukannya untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan beliau.

“Berlakunya banjir pada hujung 2008 di kawasan Kelana Jaya di mana saya belanjakan kira-kira RM26 ribu perbelanjaan untuk membantu penduduk di sana memberi sedikit wang saguhati bagi meringankan beban mereka dan kita juga sedikit penahan banjir di kawasan tersebut”, jelas Nik Nazmi dalam Selcat. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.