Gerai Haram : YB Sim menjawab bantahan penduduk.

"Dakwaan yang dibuat oleh penduduk tidak benar. MPPP telahpun segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap gerai makanan di situ," kata ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan hari ini.


ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin menafikan dakwaan bahawa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah membiarkan gerai haram beroperasi dengan flat di Jalan Aziz Ibrahim di Sungai Nibong.

Beliau mengulas laporan media mengenai kira-kira 80 penduduk flat berkenaan yang mengadakan demonstrasi membantah kehadiran gerai berkenaan.

Ahli jawatankuasa penduduk, Muhammad Hamuzira Muhammad dilaporkan mendakwa mereka membantah ketiadaan respons MPPP berhubung isu tersebut.

Menurut Muhammad terdapat kira-kira 48 gerai di situ yang menyebabkan bunyi bising, gangguan lalulintas dan sampah sarap.

Mengulas laporan tersebut, Sim berkata beliau telah menyemak dengan MPPP berhubung isu tersebut.

"Dakwaan yang dibuat oleh penduduk tidak benar. MPPP telahpun segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap gerai makanan di situ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, katanya, MPPP telah mengeluarkan dua notis pada 19 Januarilalu.

Menurutnya, Notis 72 (1) dan 72 (6) telah dikeluar mengikut Akta Bangunan, Saliran dan Jalan 1974, di mana pengendalinya diarahkan mengosongnya dalam tempoh 30 hari.

Selepas tempoh tersebut, katanya, pihak berkuasa tempatan boleh masuk ke bangunan dan memindahkan sesiapa sahaja atau barangan yang boleh dipindahkan, yang ditemui di situ.

"Kerajaan negeri berdepan dengan kritikan pelbagai pihak. Media arus perdana dan NGO yang pro Umno/BN mengkritik MPPP kerana merobohkan gerai haram.

"Mereka memainkan sentiman di kalangan rakyat. Ironinya, ada pula penduduk yang mengkritik MPPP kerana tidak mengambil tindakan terhadap peniaga gerai haram," katanya.

Oleh itu, Sim menggesa penduduk terbabit supaya jangan terperangkap dengan Umno yang didakwanya mahu mencetuskan kegelisahan di kalangan mereka.

Sim juga menggesa penduduk berkenaan supaya bersikap tenang dan membiarkan masalah itu diselesaikan melalui undang-undang.

Menurutnya, MPPP menjalankan tugas secara profesional tanpa takut atau memihak.

"MPPP juga akan membantu peniaga mencari tempat alternatif untuk mereka meneruskan perniagaan.

"Yang dipertua telah bersetuju membantu peniaga terbabit agar kehidupan mereka tidak terjejas. Saya akan menyerahkan kepada MPPP melakukan tugas secara profesional dan berperikemanusiaan," tambahnya.


Terima Kasih kerana sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.