Update: Himpunan Video Berkaitan Anwar Di Makhamah. Tok Guru Cool!







Permohonan semak keputusan Anwar hanya didengar pagi esok


KUALA LUMPUR, Feb 2 — Permohonan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuannya Jumaat lalu disemak semula hanya akan didengar pagi esok.

Permohonan itu akan didengar oleh Ketua Hakim Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff ekoran arahan Tan Sri Zaki Azmi yang tiada di pejabat hari ini.

“Tan Sri Alauddin bersetuju untuk menemui kami pagi esok di Putrajaya untuk membincangkan penetapan tarikh bagi mendengar permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan,” kata salah seorang peguam Anwar, Sankara Nair.

Peguam sepatutnya berhasrat untuk menemui Zaki tetapi beliau dikatakan tiada di pejabat hari ini.

Oleh itu kata beliau, mereka akan kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pukul 2.30 petang ini untuk memohon penangguhan perbicaraan kes Anwar.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan ke petang ini untuk mendengar permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan kes liwat beliau.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berkata penangguhan itu diperlukan kerana mereka perlu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas yang menolak permohonan Anwar untuk diberikan akses kepada dokumen daripada pihak pendakwaan untuk tujuan pembelaannya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata jika tiada tarikh ditetapkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk mendengar permohonan itu, Mahkamah Tinggi akan meneruskan prosiding bagi mendengar permohonan penangguhan perbicaraan.

Asalnya, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar hari ini tetapi perlu mendengar terlebih dahulu permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan itu.

Sama ada perbicaraan yang ditunggu-tunggu dan telah berulangkali ditangguhkan itu akan berlangsung bergantung kepada Hakim Mohamad Zabidin yang kini perlu mendengar permohonan penangguhan itu.

No comments

Powered by Blogger.