Nik Aziz nafi Kelantan mundur

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menegaskan bahawa ngeri Kelantan tidak mundur seperti mana yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, beliau mempunyai data yang jelas menunjukkan bahawa ekonomi Kelantan terus berkembang pesat seperti mana kemasukan pelabur-pelabur yang masuk menanam modal di negeri ini.

“Ini contoh pengembangan ekonomi yang baik, data yang dikeluarkan unit perancangan ekonomi yang menyebut bahawa, pada tahun 2007 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini adalah 7.5 peratus manakala peringkat nasional 6.2. sementara itu kemiskinan tegar, pada tahun 2008, 0.6, tetapi peringkat nasional 0.8.

“Pada mereka yang kata kita mundur dan tidak ada pembangunan, saya nasihatkan mereka berfikir dua kali supaya tidak menyebarkan berita-berita palsu yang memakan diri mereka sendiri, ” kata kepada media selepas merasmikan pembukaan cawangan baru Bank Muamalat di Kok Lanas di sini, semalam.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, tuduhan yang menyatakan negeri ini adalah miskin adalah tidak lebih dari kenyataan politik yang lahir dari mereka yang dengki kepada pengembangan ajaran Islam di Kelantan.

Sementara itu dalam ucapannya Nik Aziz berharap Bank Muamalat memainkan peranan yang lebih proaktif dan mengambil inovasi baru dengan memperkenalkan perkhidmatan yang berlandaskan hukum syarak.

Katanya, adalah perlu usaha positif ini akan membuka mata masyarakat dalam dan luar negara tentang keistimewaan yang ada dalam perbankan Islam.

“Saya mengharapkan dengan ada bank ini ia dapat memenuhi keperluan dan kehendak penduduk terutama kepada mereka yang ingin mendapatkan kemudahan-kemudahan pembiayaan dan deposit berlandaskan syariah,” katanya.

*terima kasih atas kunjungan.bantu lah saya dengan hanya klik di sini. setiap klik membantu blog ini berkembang.

No comments

Powered by Blogger.