Peguam Karpal Singh Di Putrajaya
Kes liwat Anwar diteruskan petang ini
PUTRAJAYA: Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijalankan petang ini, kata peguam utamanya, Karpal Singh.
Bercakap kepada pemberita selepas menemui Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff di sini pagi ini, beliau berkata Alauddin akan menetapkan minggu ini satu tarikh bagi satu semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaannya.
Pagi semalam, pasukan pembelaan Anwar mengemukakan permohonan agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 29 Januari lalu itu disemak semula.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang diberitahu mengenai permohonan semakan semula itu, menetapkan agar perbicaraan bermula pada 2.30 petang ini setelah menolak permohonan Anwar supaya ianya ditangguh.
Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. - Bernama
No comments
Post a Comment