Pemuda Umno Terus Bergasak! Dato Razali Pula Di Belasah

Sesetengah orang dilahirkan sebagai pemimpin - "born to be a leader". Sebahagian pula berusaha menjadi pemimpin - "learn to be a leader." Sebahagian lagi memilih takdir untuk menjadi orang nombor dua sepanjang hayat.

Justeru tindakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB. Datuk Razali Ibrahim, membuat sidang akhbar menafikan laporan Mykmu dan beberapa blog mengenai krisis kepimpinan Pemuda sekadar mencerminkan hakikat sebenar nilai kepimpinan beliau. Tidak perlulah diulas lagi tindakan beliau kerana jelas sekali beliau memlih untuk menjadi pentadbir dan orang nombor dua bukannya pemimpin pemuda.

Sungguhpun Mykmu telah disalurkan pelbagai krisis dan kemelut dalaman Pergerakan Pemuda UMNO sejak lima bulan yang lalu, namun kami mengambil sikap berdiam diri kerana tidak mahu merosakkan lagi imej pergerakan tersebut.


Maklumat yang diterima, dari hal peribadi sehinggalah kepada soal pentadbiran pimpinan Pemuda UMNO, didiamkan sahaja. Malangnya, peluang demi peluang yang diberikan kepada Pemuda untuk merapatkan saf, menggerakkan jentera dan mengukuhkan UMNO tidak dilakukan oleh mereka yang menang.

Apabila meletus "perang" dalam Mesyuarat bulanan EXCO pemuda UMNO Malaysia minggu lalu, kami mengambil keputusan untuk mendedahkannya. Enough is enough!

Semua pimpinan UMNO mengetahui bahawa Pemuda UMNO di peringkat negeri dan pusat dalam keadaan hidup segan mati tak mahu. Semua ini berpunca daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, saudara Khairy Jamaluddin bukannya salah Presiden atau Timbalan Presiden UMNO seperti yang cuba digambarkan oleh Malaysian Insider melalui tulisannya When a nobody is Umno Youth chief.

Tulisan Malaysian Insider (MI) merupakan satu propaganda meraih simpati kepada Khairy tanpa menghuraikan isu sebenar dalam pemuda. MI seolah-olah berpendapat Pemuda UMNO tidak menghormati Ketua Pemuda UMNO yang tidak mempunyai jawatan di dalam kerajaan.

Jawatan kabinet bukan satu kemestian untuk menjadi pemimpin yang diterima ramai. Dua calon lain dalam pertandingan Ketua Pemuda yang telah teruji kemampuan mereka Datuk Mukriz Mahathir (Aman Malaysia/Ansara) dan Dato Seri Dr. Mohamad Khir Toyo (MBM/AYC) menyatakan mereka tidak akan memegang jawatan kerajaan jika menang tempoh hari. Ini bermakna mereka percaya bahawa mereka mampu memberi kepimpinan yang berkesan tanpa sebarang jawatan di dalam kerajaan. Mengapa Khairy tidak boleh memberikannya?

MI juga seolah-olah menyatakan kegagalan Khairy merapati Datuk Seri Najib menyebabkan ramai Ketua Pemuda tidak mendapat bantuan kewangan dan ini menyebabkan mereka memberontak terhadap Khairy. Apakah MI ingin memberitahu bahawa Razali gagal menjalankan tugas beliau sebagai Naib ketua Pemuda UMNO yang diberi amanah berada di dalam kerajaan?

Khairy Punca Kemelut Pemuda UMNO

Selepas kemenangan mengejut Khairy dalam pemilihan yang lalu, ramai Ketua Pemuda UMNO bahagian bersedia merapatkan saf dan melupakan segala pertelingkahan sebelum pemilihan.

Namun Khairy memilih untuk terus bermusuh dan memecah belahkan Pemuda dengan melantik Ketua-ketua Pemuda Negeri yang tiada kredebiliti dan tidak dihormati oleh sebahagian besar ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian dalam negeri terbabit.

Antara negeri-negeri yang menghadapi kemelut kepimpinan pemuda negeri yang serius ketika ini ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan. Ketua-ketua Pemuda negeri yang dilantik bukan sahaja tidak popular di kalangan Ketua Pemuda UMNO bahagian malah mengambil sikap tidak peduli terhadap perjalanan Pemuda UMNO Negeri.

Di Perak misalnya, hampir 20 Ketua Pemuda Bahagian menandatangani memorandum meminta Menteri Besar, datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir menukar Ketua Pemuda UMNO negeri sedia ada.

Di Selangor, mesyuarat Pemuda UMNO Negeri sekadar formaliti semata. Ketua Pemuda Negeri gagal sama sekali menggerakkan jentera Pemuda. Difahamkan 15 Ketua Pemuda Bahagian mengambil keputusan menumpukan program di peringkat bahagian sahaja.

Di Pulau Pinang, Ketua Pemuda Negeri hanya diberi muka ketika membuat sidang akhbar sahaja. Lain-lain program beliau langsung tidak dipedulikan. Majoriti mereka lebih menghormati dan sering mendapat pandangan Ketua Pemuda Permatang Pauh, Cikgu Zaidi dalam segala hal.

Di Johor, perlantikan Fadzil Muskon menyebabkan ramai Ketua Pemuda Bahagian tidak lagi mempedulikan Pemuda Negeri. Malahan di kalangan mereka mempersoakan mengapa Khairy tidak memberi muka kepada Razali untuk melantik ketua Pemuda Negeri Johor memandangkan beliau merupakan bekas ketua Pemuda UMNO Negeri dan sekarang Naib ketua Pemuda UMNO Malaysia. Semua tahu Razali mahu melantik Haji Fuad Tukirin sebagai Ketua Pemuda Negeri tapi telah ditolak oleh Khairy. Sebaliknya beliau memilih melantik Ketua Pemuda Bahagian Ayer Hitam sebagai Ketua Pemuda Negeri.

Masalah kemelut Pemuda di kebanyakan negeri ialah Khairy melantik Ketua Pemuda yang tiada pengaruh dan tidak mempunyai wibawa. Perlantikan mereka hanyalah kerana mereka ini merupakan penyokong setia beliau dalam pemilihan lalu.

Khairy sejak awal mengambil keputusan 'menghadiahkan" kawan dan "membunuh" Ketua Pemuda yang tidak bersama beliau dalam pemilihan lalu. Jika kawan yang dilantik mempunyai wibawa dan pengaruh tentulah tiada masalah. Namun apabila kawan yang dilantik tidak berpengaruh dan tidak mempunyai upaya politik menarik pengaruh maka jadilah kemelut politik yang sangat kronik sekarang ini.

Khairy boleh menyatukan Pemuda dari awal lagi jika beliau mendengar pandangan setiap Ketua Pemuda Bahagian sebelum membuat keputusan melantik Ketua Pemuda Negeri. Namun ini tidak berlaku.

Perlantikan jawatan dalam Pemuda UMNO Malaysia juga penuh dengan sekumpulan pemuda yang tidak mempunyai kebolehan menggerakkan jentera Pemuda dengan efisyen, cekap dan berkesan. Kebanyakannya bodoh sombong atau "flip flop" dalam menjalankan pentadbiran Pemuda menyebabkan ramai ketua Pemuda UMNO bahagian marah dan kecewa.

Khairy terlalu menumpukan untuk mendapat jawatan Kabinet sehingga lupa memberi satu kepimpinan yang baik kepada Pemuda UMNO sendiri. Mungkin ini akibatnya naik terlalu cepat sehingga gagal memahami keperluan kepimpinan.

Apabila Pemuda UMNO membuat keputusan untuk mengadakan Kursus Kepimpinan Perdana Pemuda UMNO di Janda Baik, Pahang hujung tahun lalu ia bermula dengan niat tidak baik. Ia bertujuan untuk menunjukkan sokongan dan kekuatan Khairy ke atas Pemuda UMNO.

Melihat sikap Khairy selepas menang yang hanya mementingkan penyokongnya, maka ramai Ketua Pemuda UMNO bahagian tidak lagi peduli untuk membantu Khairy. Menurut mereka apakah Khairy mahu mereka menjadi bidak-bidak untuk beliau mendapat jawatan sedangkan sebelum ini Khairy lebih mementingkan kumpulannya sahaja?

Justeru jadilah peristiwa yang sungguh memalukan dalam sejarah pemuda UMNO apabila kursus perdananya hanya dihadiri tidak sampai separuh daripada yang dijemput. Malah ada segelintir ketua Pemuda Bahagian yang menjadi setiausaha Politik atau Pegawai Khas Menteri terpaksa hadir kerana diarahkan oleh boss-boss mereka.

Sebab itu apabila Datuk Seri Zahid Hamidi berkata jika beliau Perdana Menteri Khairy pasti dalam kabinet, hanya sebahagian kecil peserta sahaja yang memberi sorakan dan tepukan. Sudahlah yang hadir kursus hanya separuh, malah usaha untuk melobi Khairy menjadi menteri pula hanya mendapat sokongan segelintir daripada separuh sahaja. Bayangkan betapa kecil kumpulan yang mahu Khairy dilantik sebagai Menteri.

Tulisan ini mungkin pedih tapi inilah hakikatnya. Usahlah ada yang pakar dan penganalisis politik yang bermesyuarat sehingga mabuk selepas mesyuarat EXCO pemuda tempoh hari untuk mencari jawapan kepada masalah kepimpinan Khairy. Masalah tersebut di depan mata dan telah pun dinyatakan oleh ramai orang sebelum ini.
Namun sikap tidak mengambil endah dan berpendapat kekuatan politik boleh dibina melalui jawatan akhirnya memakan diri. Sekarang nasi sudah menjadi bubur.

Banyak lagi yang mahu ditulis namun khuatir menjejaskan pemuda lebih teruk.

YB Razali usahlah menegakkan benang basah jika beliau sendiri di dalam aktiviti Pemuda UMNO ibarat melukut tepi gantang.

http://www.mykmu.net/modules.php?name=News&file=article&sid=8992

No comments

Powered by Blogger.