TERKINI: Bendahari PKR Wilayah sertai Umno malam ini?

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 8 — Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menghantar surat peletakan jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa hari ini, dipercayai langkah awal untuk menyertai semula Umno.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi dugaan buat kepimpinan PKR yang kini berhadapan dengan spekulasi beberapa ahli Parlimennya akan meninggalkan parti itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin ketika dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan beliau telah menerima surat daripada Norasidi Salim hari ini yang mengatakan mahu meletakkan jawatannya.

“Dalam suratnya hanya mengatakan beliau mahu meletakkan jawatannya sebagai bendahari tetapi tidak menyebut sama ada meninggalkan parti,” kata beliau.

Bagaimanapun Azman berkata, Norasidi yang merupakan bekas naib ketua Umno Bandar Tun Razak selama tiga penggal juga ada memberitahunya bahawa mahu kembali ke pangkuan Umno.

Norasidi, menurut Azman, hanya menyertai PKR selepas pilihan raya umum ke-12. Beliau menganggotai PKR Putrajaya.

“Berdasarkan maklumat yang sata terima daripada Norasidi, ini adalah perbincangan profesional, di mana beliau memberitahu bahawa mahu kembali ke Umno,” katanya.

Azman memberitahu Norasidi tidak menggariskan masalah dengan kepimpinan negeri ataupun pusat sebagai alasan.

“Beliau menyertai PKR dengan harapan mahu membantu PKR kerana latar belakangnya sebagai akauntan bertauliah mahu membantu PKR dan ia dianggap sebagai aset tetapi PKR tidak dapat menyediakan ruang bagi beliau.

“Oleh itu beliau mahu kembali kepada Umno dan memberi sumbangan kepada parti lamanya,” kata Azman.

PKR Wilayah Persekutuan diketuai oleh Azmin Ali.

Norasidi tidak dapat dihubungi untuk pengesahan.

Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang bermesyuarat malam ini dijangka menerima borang daripada beliau.

Mesyuarat itu dijadual dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Azmin pun mengesahkan beliau sudah lama mendengar yang Norasidi, seorang ahli, akan meninggalkan PKR untuk menyertai Umno.

“Saya sudah lama, sudah beberapa bulan lalu menghidu yang dia akan meninggalkan PKR,” kata beliau sambil menambah, Norasidi sudah tidak relevan dan Umno boleh mengambilnya.

“Dia sudah tidak relevan (bagi PKR)... ini semua gimik Umno,” katanya.

Malah, kata Azmin, sejak beliau mengambil alih kedudukan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim November lalu, Norasidi jarang menghadiri mesyuarat PKR Wilayah Persekutuan.

“Dia seorang oportunis. Apabila tidak mendapat apa-apa manfaat, dia mahu meninggalkan parti... dia bukan pemimpin utama (PKR),” katanya lagi.

Terima Kasih kerana sudi 'klik' di sini sebagai sumbangan ikhlas anda membantu kami menyelengara blog ini.

No comments

Powered by Blogger.