Tg Razaleigh : UMNO Tetap Akan Berhadapan Dengan Undang-Undang Dan Rakyat

UMNO bebas mengambil apa sahaja tindakan yang mereka ingin terhadap saya,” kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, beliau tidak gentar terhadap desakan sesetengah pihak dalam parti itu yang mahu beliau dikenakan tindakan disiplin kerana menyampaikan ucapan mengenai hak Kelantan mendapat royalti minyak di Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, isu itu bukan berkaitan dengan beliau, tetapi membabitkan ketetapan undang-undang mengenai royalti minyak dan hak Kelantan dan Terengganu.

“Undang-undang ialah Akta Pembangunan Petroleum yang membawa kepada kelahiran Petronas dan memberi Kelantan dan Terengganu hak perundangan kepada lima peratus hasil minyak yang ditemui di pesisir (pantai),” Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata melalui Astro Awani, semalam.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketika menjadi Pengerusi Petronas, beliau menggubal akta, merangka undang-undang dan menandatangani perjanjian atas arahan bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Beliau mahu memastikan negeri-negeri yang miskin di Semenanjung mendapat faedah dari minyak yang diperoleh di luar pesisir,” katanya.

Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, UMNO tetap akan berhadapan dengan undang-undang negara dan rakyat, walaupun parti itu mengambil tindakan tegas ke atasnya.

Katanya, tindakannya menyokong Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak dan bukan wang ihsan, berdasarkan undang-undang.

Kontroversi royalti minyak Kelantan tercetus apabila Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak daripada Kerajaan Pusat. Bagaimanapun, Kerajaan Pusat memutuskan memberi wang ihsan RM 20 juta.

Selepas itu, Kerajaan Pusat menubuhkan jawatankuasa perundingan wang ihsan bagi membincangkan sebarang pandangan berhubung tindakan yang perlu dilakukan dengan wang ihsan yang akan disalurkan ke Kelantan kelak.

Namun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak sebarang pelawaan daripada Kerajaan Pusat untuk menganggotai jawatankuasa tersebut.

Isu royalti minyak Kelantan menjadi semakin hangat apabila Tengku Razaleigh bercakap di hadapan 40,000 orang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan menyokong Kerajaan Kelantan dalam tuntutannya.

Tindakan Tengku Razaleigh itu membangkitkan pelbagai persoalan dalam kalangan ahli parti UMNO, setengahnya marah dengan tindakannya itu.

Ada yang menuduh Tengku Razaleigh mempunyai agenda politik tersendiri dengan mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang dan ada yang mendesak beliau dikenakan tindakan disiplin.

Kelmarin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, UMNO Kelantan tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan seperti itu.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, hanya Majlis Tertinggi UMNO yang layak berbuat demikian.

Mustapa baru-baru ini mengumumkan Kerajaan Pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan mulai Mac ini kepada Kelantan. Jumlah itu adalah lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008. - SH

1 comment

MANSOR JUNUS said...

Ku Li pada masa ini sudah berada dipenghujung karier politiknya. Berkata yang benar hanyalah satu pilihan yang beliau ada. Walau pun berdepan dengan badut2 dari partinya sendiri, dengan berbagai2 ugutan, sekiranya beliau dipihak yang benar, perlindungan Allah SWT akan bersama2nya. Sentiasa... insyaAllah.

Powered by Blogger.