Kedah Beri Peruntukan Kepada Sekolah Tamil

ALOR SETAR 23 Mei - Kerajaan Kedah akan memberi sejumlah peruntukan yang belum ditetapkan kepada sekolah-sekolah Tamil di negeri ini bagi membantu sekolah-sekolah itu menangani beberapa masalah termasuk infrastruktur, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata peruntukan itu bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri dan akan diberikan mengikut jumlah pelajar dan juga infrastruktur yang diperlukan.

"Perjumpaan ini adalah bertujuan untuk membincangkan dan mendapatkan maklumat tentang masalah yang timbul dan jumlah pelajar sekolah terbabit bagi membolehkan kerajaan negeri memberi bantuan," katanya kepada pemberita selepasperjumpaan bersama 58 Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Tamil seluruh Kedah yang dipengerusikan oleh Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India, S Manikumar di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Azizan berkata jika bajet yang dipohon adalah kecil, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan segera tetapi jika jumlah yang dipohon adalah besar, ia akan dimasukkan dalam belanjawan akan datang.

"Kerajaan tidak semestinya akan membantu sepenuhnya tetapi yang mana boleh kita bantu, kita akan bantu," katanya.

"Peruntukan yang bakal diberikan kepada sekolah Tamil masih belum dipastikan lagi jumlahnya kerana saya perlu melihat data melalui perbincangan yang dibuat antara Manikumar dengan wakil PIBG setiap sekolah yang datang," katanya.

Azizan berkata jika hasil negeri bertambah dan penduduk membayar cukai tanah mengikut prosedur, wang hasil itulah yang akan digunakan untuk memberi bantuan kepada rakyat.

Bernama


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.