Najib, Taib selepas episod malang di Sibu

M Faqih

SEORANG jiran usia 56 tahun, pada hari Sabtu minggu lepas tidak nampak pun ada reaksi sakit. Tubuh badannya kelihatan sihat, biar pun dia memberitahu menghidapi darah tinggi.

Pagi keesokan harinya dia rebah di sebuah madarasah ketika mengikuti kelas al Quran. Dan malam hari yang sama dia pergi dan tidak kembali lagi.

Dua minggu sebelum itu, seorang pegawai kerajaan membetulkan paip air di belakang rumahnya selepas pulang bekerja.

Sebelum itu, jiran-jiran melihat dia ada di madrasah solat berjemaah ketika pulang waktu rehat tengah hari. Ketika membaiki paip di belakang rumah, tiba-tiba dia mengadu sakit dada kepada isterinya.

Tidak lama selepas itu dia pergi juga tidak kembali lagi. Usianya 41 tahun. Ketika ambulans sampai dia sudah tidak bernyawa lagi.

Dua peristiwa itu berlaku dalam sekelip mata. Kata orang, ia tidak dijangka. Samalah dalam situasi apa sekalipun. Lebih-lebih politik, yang serba boleh jadi.

Menang pilihan raya kerana menentang Barisan Nasional (BN). Tiba-tiba tidak lama kemudian tergila-gila pula kepada Umno dan BN.

Kata orang kampung, kalau mereka bertanding menggunakan lambang dacing, tentu tidak menang. Samalah dengan Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas, menang kerana lambang bulan.

Begitu juga Datuk Seri Zahrain Hashim, Tan Tee Beng, Mohsin Fadzil Samsuri, Wee Choo Keong, Mohd Osman Jailu, Mohd Radzi Salleh, Badrul Hisyam Abdullah dan Tan Wei Shu, mereka dipilih rakyat kerana bertanding menggunakan lambang PKR.

Begitu juga dengan Hee Yit Fong menang kerana tuah DAP.

Mereka tentunya tidak dipanggil YB kalau bertanding menggunakan lambang dacing atau Bebas. Namun tidak ramai yang menjangka mereka membuat u-turn di jalan lurus.

Mereka tidak dijangka tiba-tiba tampil dengan kejutan. Namun, ramai penyokong Pakatan Rakyat menolak andaian itu.

”Saya diberitahu Choo Keong ditawar lebih RM10 juta. Tawaran itu sejak tahun lepas sudah kedengaran. Namun menjelang pilihan raya Sibu duit yang dijanji khabarnya baru dimasuk akaun.

”Begitu juga Haji Mohsin, khabarnya diumpan RM1 juta, namun hanya 10 peratus sahaja yang diserah selepas mengisytiharkan keluar PKR.

”Selebihnya 90 peratus lagi menjadi milik agen,” dakwa seorang pemimpin muda AMK dari Kuala Krai.

Situasi serupa itu sebenarnya lebih hebat menghujani wakil-wakil rakyat PAS ketika kerajaan Kelantan berada di hujung tanduk pada 2004-2008.

Bekas Adun Kemuning, Zakaria Yaakob ditawar duit tunai RM400,000 yang dibawa ke rumahnya di Labok, Machang pada pagi 4 Mac 2006.

Sebelum itu ditawarkan RM5 juta. ”Paling mendebarkan pada peringkat awal penjumlahan undi saya diumumkan mendapat majoriti 24 undi.

”Namun dalam tempoh 24 jam bilangan undi dilakukan sekali lagi. Dan kiraan kali kedua saya dibisikkan hanya menang dengan majoriti dua undi.

”Ketika itu saya diberitahu ada arahan dari pihak atasan supaya diumumkan saya kalah dua undi. Namun pegawai pengurus pilihan raya tidak mahu bersubahat kerana perbuatan itu berdosa. Dan akhirnya saya diumumkan menang dua undi,” katanya.

Adun Temangan, Datuk Hassan Muhamad pula diumpan dengan tawaran lumayan supaya melompat parti. Tawaran itu dibuat di atas sebuah masjid di Kota Bharu. Namun beliau tidak layan dan akhirnya agen berkenaan lari meninggalkan masjid.

Situasi serupa juga berlaku ke atas Datuk Mohamad Daud (Demit), Drs Zainuddin Awang Hamat (Limbongan), Datuk Nasuruddin Daud (Meranti), Hassan Mahmood (Tawang) dan Buniamin Hamzah (Salor).

Ketika itu, kerajaan PAS Kelantan begitu genting, kata orang kampung nyawa-nyawa ikan. Cuba bayangkan kedudukan kerusi di Dun antara PAS dan BN iaitu 23 vs 22.

Namun di Kelantan tidak ada wakil rakyat seperti Zahrain, Tee Beng, Mohsin, Choo Keong dan rakan taulannya yang lain.

”Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah hanyalah hamba-hambaNya yang ulama (berilmu). Sungguh Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.” (35:28)

Manusia sekadar berusaha tetapi segala keputusan kekal menjadi hak Allah.

Dua insan yang dikenali tadi tiba-tiba dipanggil mengadap Illahi, tidak ramai yang jangka kerana mereka sihat dan tidak nampak reaksi sakit.

Mungkinkah pula 11 wakil rakyat yang tiba-tiba membuat kejutan meninggal kawan tanpa dijangka. Mereka juga tidak kedengaran sakit dan masih sihat, sebelum berhijrah meninggalkan parti yang memberi ruang untuk mencari rezeki.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Sibu, 16 Mei lalu. Tiada sesiapa pun yang menjangka calon DAP, Wong Hong Leng mampu menewaskan Robert Lau Hui Yew.

Sedangkan Robert Lau dikenali kaya raya di mana keluarganya memiliki empat akhbar iaitu Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua Daily dan Oriental Daily.

KTS Group dikuasai keluarga calon BN itu. Sepatutnya Robert Lau boleh menang mudah kerana ’tiga M’ dimonopolinya. Money, machinery dan media ada di bawah kekuasaan Robert Lau.

Calon DAP, Ho Leng apa yang ada. Sama juga dengan PAS dan PKR, tiga M tiada pada sisi mereka. Money hanya ada di dalam poket ahli. Machinery hanya pada tenaga penyokong. Dan media sekadar medium ceramah.

Suara dan wajah Robert Lau boleh menembusi rumah-rumah panjang di pedalaman Sibu. Kempen dan senyum meleret Robert Lau boleh ditonton di kaca televisyen.

Ho Leng, usah harap wajahnya boleh keluar televisyen, sebaliknya ceritanya banyak dimanipulasi.

Namun, siapa sangka, pengundi Sibu berani membuat kejutan. Pengundi di pedalaman Sungai Rassau, Nangka Tutus, Sungai Pasai, Sungai Pinang, Rumah Basseh dan Boi Ing mulai berjinak dengan Pakatan Rakyat.

Undi majoriti yang dipertahankan BN sejak zaman berzaman telah mulai robek. DAP dan Pakatan Rakyat sudah sudah menyinap jauh ke pedalaman Sarawak.

DAP memperolehi 18,845 undi mengatasi BN dengan majoriti 398 undi. Calon Bebas, Narawi Haron hanya mampu meraih 232 undi dan hilang wang pertaruhan.

Siapa sangka ketika setiap anggota kabinet Najib menyelusuri setiap jalan, lorong dan sungai di Sibu, tiba-tiba pengundi Sibu berani membuat kejutan.

Benarlah apa yang ditelah sebelum ini, BN girang di Hulu Selangor, akhirnya menangis di Sibu.

Di Hulu Selangor, siapa jangka bekas menteri yang dipertaruhkan, Datuk Zaid Ibrahim boleh tewas kepada Kamalanathan, seorang tidak dikenali.

Sepatutnya seperti dalam situasi Bagan Pinang, calon yang hebat dan dikenali ramai seperti Tan Sri Isa Samad boleh menang. Zaid jauh lebih popular berbanding Kamalanathan.

Namun itulah dinamakan kejutan, ia berlaku tanpa ramai yang mampu menjangka. Kejutanlah yang menyebabkan suasana politik negara terus hangat. Ia berpangkal tsunami Mac 2008.

Politik yang tidak dijangka itu membuat Umno dan BN terkejut panjang. Maka bagi meredakan jantung yang sudah lama berombak, diumpankan tiga Adun Pakatan di Perak. Dan umpan itu mengena.

Episod kejutan demi kejutan itulah menyebabkan Tan Sri Taib Mahmud nampak celaru menentukan pilihan raya negeri. Sedangkan iddah akhir pada Julai 2011.

Biar pun beliau menafikan BN kalah di Sibu disebabkan undi protes, namun Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengakui jentera pilihan rayanya tidak bertenaga.

”Inilah menyebabkan BN kalah di Sibu,” kata Najib seperti menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa pun Taib paling malang dalam episod ini, selepas Puan Sri Laila dijemput Tuhan, kini Sibu pula hanyut di Sungai Rejang. Nampaknya Taib dan Najib menangis lagi.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.