Perhimpunan 13 Mei Tindakan Terdesak Umno Tarik Undi Melayu

Oleh Norasikin Samsi & Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kerajaan Umno-Barisan Nasional terbukti begitu terdesak untuk meraih kembali sokongan rakyat khususnya kaum Melayu sehingga sanggup menggunakan sentimen perkauman sempit sebagai senjata terakhir untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengulas demikian ekoran laporan Utusan Malaysia Isnin lalu berhubung cadangan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan pro-Melayu menyertai program 'Melayu Bangkit' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu di Stadium Tertutup GongBadak 13 Mei ini.

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat membantah penganjuran program berkenaan kerana ia bakal mengancam keselamatan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di mana pemilihan tarikh tersebut merupakan perkara yang dirancang untuk mengembalikan sejarah tragedi rusuhan antara kaum pada 1969.

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Razali Idris dilaporkan sebagai berkata, tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku empat dekad lalu.

"Ini satu kenyataan yang serius yang menyebut secara nyata dan terang memilih tarikh tersebut sebagai satu tarikh untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

"Ia merupakan suatu perkara yang tidak sihat, tidak perlu dan tidak wajar untuk diwujudkan dan diadakan di persada tanah air kita setelah merdeka lebih 50 tahun.

"Dan di saat Perdana Menteri bercakap tentang 1Malaysia yang menggunakan khidmat Apco membayar RM77 juta namun masih lagi nak membangkitkan satu peristiwa atau program yang sangat berunsurkan perkauman yang tidak sepatutnya wujud lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Salahuddin juga menegaskan Pakatan Rakyat khususnya PAS menolak perbuatan segerombolan pihak tidak bertanggungjawab ini kerana perkara tersebut adalah bertentangan dengan perjuangan untuk membela semua kaum.

"PAS memandang kenyataan ini sebagai amat tidak bertamadun yang bertentangan dengan semangat yang kita bina dalam negara apatah lagi atas nama Pakatan Rakyat, kita mahu satu Malaysia yang lebih baik, adil dan saksama kepada semua kaum, semua agama tetapi tiba-tiba masih ada lagi kumpulan yang pada hari ini ingin menggunakan peristiwa berdarah 13 Mei itu untuk membangkitkan tragedi yang tidak sepatutnya diingini rakyat.

"Bukan sekadar orang Melayu, Cina mahupun India malah semua manusia yang bertamadun tidak akan membenarkan lagi peristiwa ini berlaku lagi dalam negara ini," katanya lagi.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat bangkit dan menyedari tentang kewujudan kumpulan yang menyumbang tercetusnya kepada kacau-bilau dalam negara.

"Mereka perlu untuk diberitahu bahawa inilah kumpulan yang sangat berbahaya dan sangat perlu dijauhi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

"Kalau setakat nak bincang tentang DEB (Dasar Ekonomi Baru), nak bincang tentang masa depan orang Melayu tidak menjadi satu kesalahan tetapi bukan forumnya kita mewujudkan satu program dengan niat begitu jelas yang dibangkitkan oleh pengerusinya memilih 13 Mei itu dan menyebut tarikh itu untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

Beliau juga bimbang IIIM Terengganu dipergunakan untuk politik sempit Umno-BN.

"Saya sangat aktif dengan IIM dan banyak perkara yang dibangkitkan dalam IIM. Tapi IIM Terengganu dilibatkan dalam program yang sangat sempit dan ekstrim ini.

"Jadi saya minta Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap IIM Terengganu yang boleh dipergunakan oleh puak-puak yang ekstrim ini kerana saya yakin di belakang program ini adalah Umno."

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula bertegas supaya program itu dibatalkan.

Menurutnya, pengajuran program berkenaan jelas melibatkan Unit Perancang Ekonomi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau juga mempersoalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan menghadiri program itu.

"Saya nak tanya Mahathir, adakah dia nak hidupkan kembali semangat perkauman ini? Dia sebagai negarawan, nak hadir ke program sebegini. Ini yang amat dikesalkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa ketika dihubungi berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan melayu yang berupa mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

"Gertak jelas didalangi Umno kerana pimpinannya merupakan pemimpin Umno. Jadi sebab itu mereka menganjurkan program bagi membakar sentimen perkauman di kalangan orang Melayu.

"Ini menunjukkan Umno sudah semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dalam keadaan di mana orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada mereka.

Katanya, perkara itu juga menunjukkan gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal apabila Umno secara berterusan memainkan isu-isu perkauman demi kepentingan politik sempit mereka.

"Ini juga menunjukkan gagasan 1Malaysia telah gagal mewujudkan keharmonian kaum dan hanya digunakan sebagai sandiwara demi menjaga kepentingan politik Umno. Umno menjadi dalang dan bayang-bayang dalam penganjuran perhimpunan ini dengan meletakkan Gertak di hadapan. Kita mahu Umno dan NGO terbabit untuk hentikan perhimpunan itu kerana ia mampu mencetuskan keadaan huru hara dan menganggu gugat keharmonian kaum di negara kita," ujarnya.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.