Taib akui taktik baru Pakatan punca BN tewas

KUCHING, 18 Mei — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata, taktik baru yang digunakan DAP bagi meraih sokongan pengundi menyebabkan BN kalah kerusi Parlimen Sibu.

“Kali ini kita menghadapi pelbagai corak kempen yang diadakan pembangkang dan ramai pula orang luar yang datang, kata Ketua Menteri Sarawak itu kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Katanya BN Sarawak akan merangka strategi kempen yang baru bagi pilihan raya negeri yang akan datang bagi menghadapi cabaran dan menangkis dakwaan tidak berasas oleh pembangkang terhadap kerajaan negeri.

Pilihan raya negeri dijangka sebelum Julai tahun depan.

Dipetik Bernama, Abdul Taib juga menafikan bahawa BN kalah disebabkan undi protes oleh pengundi Sibu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan ahli politik kanan di negeri ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata jentera pilihan raya BN tidak begitu kreatif atau bertenaga seperti pembangkang menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya kecil itu.

Najib berkata jentera BN masih mengamalkan kempen cara lama.

Dalam kenyataannya semalam, Abdul Taib menyifatkan kemenangan DAP merampas kerusi Parlimen Sibu kelmarin bukan isyarat kepada permulaan penguasaan parti pembangkang di Sarawak.

Abdul Taib yang merupakan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, takrifan DAP dan pakatan pembangkang terhadap keputusan itu merupakan soal lain.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon DAP Wong Hong Leng memperoleh 18,845 undi untuk memenangi kerusi itu dengan majoriti 398 undi menewaskan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang hanya mampu meraih 232 undi dan hilang wang pertaruhan.


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.